TAMPIN – Seorang pekerja ladang terkejut selepas menemui sebutir bom lama unexploded ordnance (UXO) jenis Mortar 81mm berukuran 36 sentimeter (sm) di kebun kelapa sawit, Jalan Batu Belang, di sini pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman, Balai Polis Tampin menerima laporan mengenai penemuan objek yang menyerupai bom di lokasi tersebut pada pukul 8.42 pagi.
“Sepasukan polis pergi ke lokasi dan mendapati ada objek tersebut sebelum memasang tali rintangan. Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan dan UPB Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin dimaklumkan untuk tindakan pemusnahan,“ katanya kepada pemberita hari ini.
Proses memusnahkan bom selesai pada pukul 11.51 pagi tadi dan ini merupakan kali pertama bom lama tinggalan perang ditemukan di kawasan Tampin pada tahun ini.