SUDAH menjadi lumrah bagi setiap insan untuk mempunyai impian dalam kehidupan.
Tiada impian yang mustahil untuk digapai jika kita sentiasa berusaha merealisasikannya.
Itulah yang dilakukan oleh Krshya Selva Kumar, 22, apabila dia mengatur langkah bagi membolehkan impiannya sejak kecil terlaksana.
“Saya mempunyai impian untuk menjadi seorang doktor. Bagi membolehkan saya mencapainya, saya memilih untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan.
“Sebenarnya, kita sendiri yang menentukan impian kita itu sekadar angan-angan atau realiti.
“Jika kita mengimpikan sesuatu dalam kehidupan, kita harus mengatur langkah untuk mencapainya,” katanya.
Untuk makluman, Krshya kini sedang mengikuti Ijazah Sarjana Muda Doktor Perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Sebelum menyambung pengajian dalam bidang perubatan, dia sememangnya melakukan segala persediaan yang diperlukan bagi membolehkannya menyambung pengajian dalam jurusan tersebut.
Oleh itu, ketika di zaman persekolahan dia memberi fokus untuk cemerlang dalam Sains dan Biologi yang merupakan mata pelajaran kesukaannya.
Dalam pada itu, berbicara tentang impian untuk menjadi seorang doktor, Krshya mengakui, dia berminat dengan kerjaya itu sejak berusia lima tahun.
Sejak kecil, dia suka membaca dan kedua-dua ibu bapanya yang berkhidmat sebagai guru sering membeli buku untuk dibaca.
Krshya masih mengingati memori di mana ketika membaca sebuah buku, dia terjumpa satu bahagian yang mengisahkan tentang kerjaya doktor.
Di situlah bermulanya impian dia untuk mengejar cita-cita menjadi seorang doktor.
Selain itu, berlaku beberapa masalah kesihatan yang melibatkan ahli keluarganya, sekali gus menguatkan lagi fokus Krshya untuk memilih kerjaya dalam bidang perubatan.
“Ketika saya berumur lapan tahun, datuk saya yang merupakan seorang pemandu ambulans meninggal dunia kerana serangan jantung.
“Dia tidak dapat pergi ke hospital dengan segera kerana berada di kawasan pedalaman pada ketika itu.
“Dia telah terlepas waktu ‘golden period’ untuk diselamatkan,” terangnya yang kini sedang berada di tahun keempat pengajian.
Tambahnya, dalam keluarganya tiada individu yang terlibat dalam bidang perubatan.
Katanya, rata-rata daripada mereka tiada sumber mencukupi untuk mendapatkan nasihat tentang apa yang perlu dilakukan kepada datuk ketika itu.
Oleh itu, dia mempunyai tekad untuk mendalami bidang perubatan bukan hanya membantu keluarganya, malah masyarakat di luar sana.
Malah, Krshya berhasrat untuk menjalani ‘housemanship’ di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak.
“Saya tidak kisah berkhidmat di kawasan pedalaman terutamanya di Sabah dan Sarawak.
“Ini kerana, saya pernah melihat bagaimana ahli keluarga saya sendiri tidak mempunyai akses terhadap fasiliti kesihatan disebabkan berada di kawasan pedalaman.
“Saya mahu membantu mereka yang berada di kawasan pedalaman untuk mendapatkan rawatan kesihatan,” jelasnya anak sulung daripada tiga beradik itu.
Sementara itu, biarpun sibuk dengan pengajian, namun Krshya bukan menjadi ‘ulat buku’ semata-mata, sebaliknya dia juga aktif di universiti.
Sejak di bangku sekolah, dia aktif dengan pengucapan awam dan minat itu diteruskan sehingga kini.
“Pada tahun kedua pengajian, saya menyertai pertandingan pengucapan awam peringkat nasional. Saya berjaya meraih johan.
“Selain itu, di universiti saya aktif dengan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi membolehkan saya membawa usul untuk membantu para pelajar lain,” jelasnya.
Tambahnya, selain fokus terhadap akademik, penglibatan aktif dalam pelbagai aktiviti di luar kampus juga penting kerana ia membantu dirinya untuk belajar sesuatu yang tidak terdapat di dalam kelas.