fbpx

Bilangan penganggur berkurang 0.3 peratus pada Julai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan bilangan penggangur pada Julai lalu terus berkurang iaitu 0.3 peratus kepada 563,700 berbanding 565,300 orang yang direkodkan pada bulan sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin, bagaimanapun berkata, kadar pengangguran pada bulan terbabit kekal pada 3.3 peratus seperti bulan sebelumnya.

Katanya, bilangan penduduk bekerja terus meningkat pada Julai lalu iaitu sebanyak 0.2 peratus kepada 16.63 juta orang, berbanding 16.61 juta orang pada bulan sebelumnya.

“Pasaran buruh negara kekal stabil, susulan kedudukan ekonomi negara yang semakin berkembang pesat, merekodkan peningkatan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala bilangan penganggur semakin berkurangan.

“Oleh itu, bilangan tenaga buruh pada Julai lalu terus bertambah dengan merekodkan peningkatan sebanyak 0.1 peratus kepada 17.2 juta orang, berbanding 17.17 juta orang pada Jun.

“Sementara itu, kadar penyertaan tenaga buruh tidak berubah iaitu pada 70.4 peratus seperti pada bulan Jun 2024,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Uzir berkata, mengenai situasi guna tenaga, sebahagian besar penduduk bekerja adalah dalam kategori pekerja iaitu 75 peratus.

“Kategori ini meningkat sebanyak 0.1 peratus kepada 12.48 juta orang, berbanding 12.46 juta orang pada Jun lalu.

“Pada masa yang sama, kategori penduduk bekerja sendiri kekal dalam trend meningkat, bertambah sebanyak 0.3 peratus kepada 3.07 juta orang, berbanding 3.06 juta orang pada Jun,” katanya.

Mengikut sektor ekonomi, perkhidmatan terus merekodkan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja, terutamanya dalam aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman, perdagangan borong dan runcit serta pengangkutan dan penyimpanan.

Dalam pada itu, sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian serta pertanian turut mencatatkan trend positif dalam bilangan guna tenaga. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI