Setiap tahun ada sahaja perkhabaran duka mengenai jemaah haji dan umrah ditipu, ‘tersadai’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tidak dapat meneruskan perjalanan ke Tanah Suci seperti yang dijanjikan dalam pakej yang ditawarkan oleh syarikat pengurusan umrah yang tidak bertanggungjawab. Apatah lagi ribuan ringgit lenyap begitu sahaja tanpa boleh dituntut oleh mana-mana pihak.
Bertitik tolak kepada isu tersebut, Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (Papuh) telah mengambil inisiatif menyediakan satu platform yang mudah kepada masyarakat untuk mendapat maklumat terkini, lebih jelas dan dijamin selamat untuk membuat pembelian pakej menunaikan umrah atau melancong di bawah konsep Islamik pada tahun ini dan tahun depan.
Inisiatif persatuan itu telah menggabungkan 50 hingga 60 syarikat pengurusan umrah yang berlesen menjadi pempamer dalam program Umrah & Muslim Travel Fair dari 25 hingga 27 Oktober 2024 bertempat di Hotel Grand Barakah, Ampang.
Menurut Naib Presiden Papuh, Muhammad Mursyid Abu Hassan, ini adalah platform terbaharu buat mereka yang mahu membuat pilihan terbaik untuk merancang pembelian pakej umrah, semua syarikat menawarkan pelbagai pakej.
“Pilihlah pakej yang munasabah mengikut bajet masing-masing, jangan nanti anda cuma mampu bayar deposit tetapi tidak dapat membayar baki penuh pakej yang ditempah sebelum ini.
“Kami akan mengukuhkan jenama pameran ini seterusnya bakal dibawa ke luar Lembah Klang pada masa depan,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
KOSMO!: Bagaimana datangnya idea untuk menganjurkan Umrah & Muslim Travel Fair yang mana ini adalah program kedua selepas bulan Julai lalu?
MUHAMMAD MURSYID: Papuh sebelum ini telah menerima banyak rungutan daripada ahli memandangkan ramai jemaah yang tertipu dengan pakej-pakej murah yang banyak diiklankan di laman media sosial.
Mereka tertipu disebabkan terpengaruh dengan pakej yang ditawarkan dengan harga murah dan akhirnya mereka tidak dapat terbang ke Tanah Suci.
Setelah diselidik baru mereka tersedar bahawa mereka membeli pakej daripada agensi yang tidak berlesen. Atas permintaan ahli Papuh sendiri, kami bersetuju untuk menganjurkan Umrah & Muslim Travel Fair yang hanya membenarkan agensi-agensi yang mempunyai lesen penuh (seperti inbound, outbound, jualan tiket dan umrah) untuk mengambil bahagian.
Berapa banyak syarikat pengurusan umrah yang dijangka terlibat pada program bulan Oktober ini dan apa kelainan yang akan ditampilkan?
Sebanyak 60 syarikat akan mengambil bahagian dalam acara kali ini. Persatuan juga telah bekerjasama dengan syarikat penerbangan Saudia (Saudia Airlines) bagi menjayakan lagi acara ini.
Selain itu, kami juga turut bekerjasama dengan syarikat Akar Digital, sebuah agensi pemasaran digital yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan aktiviti pemasaran program kali ini.
Melalui aktiviti pemasaran ini, ia akan membantu mengukuhkan jenama bagi syarikat yang terlibat. Sehubungan itu, kami ingin mengajak semua yang ingin melancong untuk datang ke Umrah & Muslim Travel Fair untuk mendapatkan pakej-pakej umrah, pelancongan mesra muslim ke serata dunia, pas-pas masuk ke taman tema, tiket penerbangan serta tidak ketinggalan beberapa pakej percutian dalam negara dengan harga yang sangat menakjubkan.
Kami juga menyediakan hadiah cabutan bertuah kepada pelanggan yang membuat tempahan semasa acara ini. Hadiah utamanya adalah baucar umrah atau pelancongan bernilai RM2,000, 25 baucar umrah atau pelancongan bernilai RM500 dan 20 set Ihram.
Bagaimanakah agaknya sambutan pengunjung untuk program kali ini?
Kami yakin ia akan lebih baik berbanding penganjuran kali pertama, persediaan lebih lama yang dibuat dengan bantuan daripada agensi pemasaran itu akan membolehkan jenama pameran ini lebih meluas dan ia dapat membantu syarikat yang masih baharu dan tiada bajet besar untuk membuat promosi secara besar-besaran.
Kami jangkakan lebih 2,000 hingga 3,000 pengunjung untuk pameran jualan bulan Oktober ini nanti.
Adakah Papuh menetapkan sebarang sasaran nilai transaksi jualan?
Kami jangkakan jualan kali ini lebih banyak untuk setiap syarikat kerana melihat kepada trend masyarakat akan membuat survey dan tinjauan pasaran pada suku keempat untuk mereka membuat perancangan perjalanan umrah mereka pada awal tahun depan.
Disebabkan program ini masih baharu, kami belum membuat catatan yang lengkap khusus untuk membandingkan dengan jumlah transaksi program sulung kami yang lalu.
Kami berharap dapat menganjurkan pameran jualan ini setiap tiga hingga empat bulan setahun dengan usaha untuk menghimpunkan semua syarikat pengurusan umrah yang berdaftar untuk terlibat sama bagi mengukuhkan jenama kami.
Dalam masa yang sama, melalui usaha ini juga kami berharap ia akan menjadi pameran jualan yang terkenal seperti mana yang berlaku pada pameran jualan pelancongan yang lain di negara ini.
Apakah trend dan pilihan pengunjung untuk pameran jualan pakej umrah dan pelancongan kali ini, adakah mereka lebih suka memilih pakej ‘rahmah’?
Promosi jualan pakej umrah berkonsepkan rahmah ada subjektif bagi pelanggan dan bergantung kepada inisiatif sesebuah syarikat itu untuk menjual pakej. Sememang ada syarikat yang menjual pakej rahmah di bawah RM4,000 hingga RM5,000.
Itu cara promosi mereka tetapi bagi kami di pameran jualan ini, kami lebih menggalakkan pengunjung membuat pemilihan pakej umrah penuh bagi memenuhi keperluan setiap jemaah.
Ada juga yang datang ke pameran jualan ini untuk mencari pakej umrah yang ada pakej pelancongan ke Turki atau ke Jordan dan Mesir, mengikut keperluan dan bajet mereka.
Apa nasihat dan panduan tuan kepada mereka yang sedang mencari pakej umrah bagi mengelak ditipu?
Sebab itu, kami menggalakkan semua datang berkunjung ke pameran jualan pada bulan Oktober ni di Hotel Grand Barakbah kerana kami hanya membawa pempamer yang terdiri daripada syarikat yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan sahaja.
Terdapat 60 syarikat yang akan sertai program tersebut. Selain itu, kami juga berharap orang ramai yang sedang mencari pakej umrah, pastikan mereka memilih pakej mengikut bajet masing-masing, jangan teruja untuk membeli pakej yang di luar kemampuan sendiri akhirnya selepas membayar deposit, anda tidak dapat membayar baki bayaran penuh pakej tersebut. -KOSMO! ONLINE