fbpx

Azizulhasni masih mahu ke LA 2028

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZIZULHASNI berminat untuk ke LA2028 dengan peranan berbeza sekiranya memilih untuk tidak lagi bersaing sebagai pelumba. - AFP

JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang masih belum membuat keputusan muktamad mengenai penglibatannya pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 sama ada sebagai pelumba atau beralih ke peranan jurulatih.

Biarpun kariernya sebagai pelumba berada pada tahap terbaik, The Pocket Rocketman yang kini berusia 36 tahun mengakui bahawa cabaran usia menjadi faktor penting dalam membuat keputusan mengenai penyertaan di Olimpik empat tahun akan datang.

“Saya telah berbincang dengan John Beasley (jurulatih kebangsaan), namun saya tidak boleh menjanjikan kepastian untuk LA 2028. Saya perlu kembali ke Melbourne dan berbincang dengan keluarga sebelum membuat keputusan yang muktamad,” katanya.

Azizul turut berkongsi, meskipun prospek sebagai pelumba di Los Angeles agak samar, beliau masih bersemangat untuk menyumbang kepada pasukan negara dalam kapasiti lain, mungkin sebagai jurulatih kepada bakat-bakat baharu.

“Saya tak nampak diri saya ke LA sebagai atlet, tapi saya mungkin boleh bantu skuad Malaysia dari sudut lain, seperti membantu pelumba muda kita,” kata Azizul yang ditemui media semasa sesi ramah mesra bersama peminat di IOI City Mall Putrajaya, semalam.

Meskipun belum ada keputusan rasmi, Azizul menegaskan bahawa beliau akan membuat perbincangan lanjut dengan ketua jurulatih bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, sebelum memutuskan masa depannya.

Sementara itu, Azizul juga mendedahkan menerima beberapa tawaran dari luar negara untuk menjadi jurulatih prestasi, namun buat masa ini, beliau tidak tergesa-gesa membuat sebarang keputusan kerana lebih suka memberi fokus penuh kepada apa jua yang akan dilakukannya nanti.

“Saya bukan jenis yang buat keputusan secara tergesa-gesa. Saya akan pastikan diri saya benar-benar bersedia sebelum melangkah ke fasa seterusnya dan saya sentiasa memberi 110 peratus dalam setiap perkara yang saya lakukan,” jelas beliau.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI