NEWCASTLE – Newcastle United dilaporkan sedang memantau perkembangan pemain sayap Manchester United, Antony dan melihat awal tahun 2025 sebagai peluang terbaik untuk membawa pemain sayap itu ke St. James Park.
Pengurus Newcastle, Eddie Howe dilaporkan mempertimbangkan Antony sebagai alternatif utama sekiranya rundingan mendapatkan Anthony Elanga daripada Nottingham Forest tidak membuahkan hasil selepas minat terhadap pemain berusia 24 tahun itu sudah lama terjalin.
Meskipun Antony kurang meledak gol di Old Trafford dengan hanya menghasilkan 11 jaringan dalam dua musim, Howe percaya dia mempunyai potensi untuk menyerlah jika diletakkan dalam pasukan yang tepat.
Howe dikatakan sangat menghargai bakat muda tersebut selain percaya Antony akan menjadi nilai tambah yang berharga dalam skuad kendaliannya selain pemain berusia 24 tahun itu turut dilaporkan berminat dengan perpindahan menyertai The Magpies.
Newcastle dikatakan sanggup membayar harga £40 juta (RM227.33 juta) diminta Manchester United selepas The Red Devils terbuka untuk menjual pemain yang mereka beli dengan harga £86 juta (RM488.76 juta).
Sekiranya Antony berjaya mempamerkan prestasi cemerlang di St. James Park, dia mungkin akan menjadi pemain kesayangan penyokong Newcastle serta menghidupkan semula kariernya yang agak tenggelam di Old Trafford.
Jendela perpindahan Januari akan menjadi fokus Newcastle untuk memperkukuh skuad mereka dan Antony dilihat sebagai aset penting dalam memperkuat pasukan yang kini berada di bawah kendalian Howe. – AGENSI