PETALING JAYA – Persatuan Alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir untuk menyegerakan pelantikan rektor baharu UIAM selepas jawatan itu dikosongkan sejak 31 Ogos lalu.
Menurut Presidennya, Khalek Awang, pelantikan segera ini adalah penting untuk memulihkan kedudukan UIAM yang didakwa telah menyimpang daripada falsafah asal penubuhan.
“Kekosongan rektor untuk tempoh yang lama adalah sesuatu yang tidak baik dari segi tatakelola.
“Kami mahukan rektor yang baru yang mempunyai integriti, kewibawaan akademik dan memahami serta yang paling penting dapat kembali mendokong falsafah UIAM yang asal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Khalek berkata, reputasi dan prestasi UIAM telah merosot dari segi ‘world ranking’ berbanding dengan kedudukan semasa (Anwar) menjadi Presiden UIAM pada tahun 90-an.
“Rekod UIAM juga merosot setiap tahun dari segi jumlah pelajar antarabangsa dimana hanya seramai 183 orang pelajar antarabangsa mandaftar pada sesi pengajian yang lepas, berbanding lebih 1,000 orang pada tahun-tahun sebelum 2020. – KOSMO! ONLINE