SEBERANG PERAI – Kejadian angin kencang beserta ribut yang melanda beberapa kawasan di Seberang Perai Utara (SPU) di sini, semalam menyebabkan beberapa buah rumah penduduk mengalami kerosakan.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2 petang itu turut mengakibatkan bumbung di enam buah kediaman diterbangkan angin.
Seorang penduduk, Ibrahim Wan Teh, 49 berkata, kejadian tersebut berlaku dengan sekelip mata dan ketika itu dia berada bersama anak-anaknya di ruang tamu.
“Sepanjang tinggal di sini sejak kecil, inilah kali pertama kampung kami dilanda bencana sebegini. Angin kuat telah menerbangkan atap zink di bahagian dapur, tapi mujurlah tidak berlaku sebarang kecederaan.
“Buat masa ini, kami berempat tidur di ruang tamu kerana bimbang kejadian sama berulang lagi susulan cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini,” katanya yang bekerja sebagai jurukimpal di kediamannya di Kampung Pongsu Seribu, Kepala Batas, di sini hari ini.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Roslina Abu Bakar,49, pula berkata, kedengaran bunyi angin yang sangat luar biasa sebelum menerbangkan sebahagian bumbung rumahnya.
“Sebelum ini saya hanya mendengar berita mengenai puting beliung dan ribut, tapi apabila dah rasa sendiri, pengalaman itu amat menakutkan. Saya harap ia tidak akan berulang lagi,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, seramai enam keluarga terjejas menerima bantuan yang diperlukan.
“Saya dan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melawat rumah yang terkesan termasuklah bumbung tercabut selain dimasuki air akibat hujan lebat semalam.
“Selain bantuan wang tunai, bumbung rumah yang terjejas akan dibaikpulih segera dalam tempoh sehari dua ini menerusi peruntukan hampir RM24,000,” katanya. – KOSMO! ONLINE