fbpx

Terbitan hak OCR bakal jana margin pelabur hingga 60 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
OCR bakal terlibat dalam projek hartanah di Templer Rawang dengan nilai GDV RM313 juta. -Gambar hiasan

PETALING JAYA – Cadangan pelaksanaan terbitan hak boleh pindah yang melibatkan sehingga 1.34 bilion saham baharu pada harga terbitan 3.5 sen sesaham oleh pemaju hartanah terkenal OCR Group Berhad (OCR) perlu dipertimbangkan oleh para pelabur khususnya yang memiliki pegangan saham dalam syarikat berkenaan.

Pensyarah Kewangan Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Wan Mohd Farid Wan Zakaria berkata, cadangan tersebut disasarkan menjana margin sehingga 60 peratus dan keyakinan tersebut bersandarkan kepada  fakta bahawa pelaksanaan hak ini disertai dengan sehingga 1.34 bilion waran boleh lucut percuma, dengan asas dua saham hak bersama dua waran untuk setiap tiga saham OCR sedia ada yang dimiliki oleh pemegang saham yang berhak pada 5 September lalu

“Ia adalah kiraan aritmetik yang mudah yang mana harga tawaran terbitan hak sebanyak 3.5 sen melibatkan diskaun sebanyak 30 peratus daripada harga saham semasa OCR iaitu pada harga lima sen,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

 Tambah beliau, pelabur juga akan mendapat manfaat menerima dua waran percuma yang disertakan dengan setiap dua saham hak yang mana harga waran bakal disenaraikan pada 1.5 sen secara konservatif.

“Oleh itu, jumlah keseluruhan keuntungan pelabur adalah  30 peratus atau 1.5 sen daripada diskaun satu saham terbitan hak, selain tambahan 1.5 sen daripada waran percuma (dua saham hak bersama dua waran) yang mana semuanya dengan jumlah diskaun 60 peratus atau tiga sen (harga saham OCR terakhir didagangkan pada 6 September lalu adalah lima sen),” jelasnya.

Beliau mengingatkan pelabur bahawa tarikh dan masa akhir untuk penerimaan dan pembayaran bagi peruntukan sementara dan saham hak berlebihan dengan Waran E adalah pada 5 petang, 23 September (Isnin) ini.

Selain itu, Wan Mohd. Farid menerangkan, bagi pelabur yang belum memiliki saham hak OCR (OCR-OR) tetapi berminat untuk menyertai pelaksanaan terbitan hak tersebut, mereka boleh membelinya yang kini didagangkan di Bursa Malaysia sebelum 13 September.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan terbaharu OCR, syarikat tersebut telah menandatangani perjanjian dengan pemilik tanah untuk membangunkan projek perumahan bersama di atas tanah pegangan bebas seluas 18.37 ekar (7.348 hektar)  di Templer, Rawang Selangor dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan sebanyak RM313 juta.

Menurut maklumannya kepada Bursa Malaysia baru-baru ini, projek tersebut terdiri daripada 118 rumah berkembar, 37 lot banglo dan lima lot kedai, kata pemaju hartanah itu dalam pemfailan bursa.

Di bawah perjanjian usaha sama (JV), pemilik tanah, Lecca Properties (M) Sdn Bhd, mempunyai hak minimum sebanyak RM45 juta untuk kerjasama dengan pemaju.

Dari segi prestasi kewangan, kumpulan ini mencatatkan lonjakan besar dalam keuntungan bersihnya untuk suku kedua tahun kewangan 2024 yang berakhir pada 30 Jun 2024 kepada RM2.38 juta (suku kedua tahun kewangan 2023: RM90,000).

Hasil pula meningkat sebanyak 42.2 peratus kepada RM46.37 juta (suku kedua tahun kewangan 2023: RM32.82 juta). -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI