fbpx

Sistem bola sepak negara gagal – Sanusi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi (tengah) hadir Majlis Penutup Festival Insan Sejahtera di Dewan Masjid Tunku Sallehuddin, Bandar Puteri Jaya di Sungai Petani, hari ini.

SUNGAI PETANI – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa sistem bola sepak di negara ini telah gagal sehingga menyebabkan beberapa pasukan tidak mampu bersaing disebabkan masalah kewangan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) itu berkata, pihak bertanggungjawab perlu mengkaji semula sistem sedia ada bagi membolehkan setiap negeri dapat menguruskan pasukan dengan cara terbaik.

“Sistem yang dilaksanakan sekarang ini gagal untuk membolehkan negeri-negeri membuat penampilan menguruskan pasukan cara terbaik. Orang lain tak boleh buat sebab hang paksa orang ikut satu negeri saja, itu pun bukan negeri tapi kelab. Kenapa semua kena ikut dia, tak betul (cara itu).

“Kalau orang lain semua mampus, dia hidup seorang dia boleh main kah bola, larat kah main seorang-seorang. (Tentu) tak boleh, kena bersaing dengan orang lain. (Tapi) kalau orang lain tak boleh main, macam mana nak lawan. Berhenti lah ikut satu pasukan itu.

“Saya pernah kata kita pi main tempat lain sebab gaji mahal. Masa dulu anak syarikat kerajaan negeri bayar gaji Kedah menang Piala Malaysia, gaji cuma enam ke tujuh ribu saja masa tu. Kenapa sekarang gaji puluhan ribu sampai pasukan lingkup tentu ada salah sistem ini, ” katanya pada sidang akhbar Festival Insan Sejahtera Negeri Kedah di sini, hari ini.

Beliau mengulas situasi semasa pasukan bola sepak Kedah Darul Aman (KDA) FC yang berdepan masalah kewangan meruncing apabila dikatakan gagal membayar gaji pemain sehingga lebih enam bulan.

Keadaan itu turut menyebabkan para pemain tidak turun menjalani latihan sejak beberapa hari lalu setelah mendakwa tidak mempunyai wang untuk menampung keperluan harian selain mempunyai tunggakan hutang bank.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri tidak pernah mengambil sikap lepas tangan terhadap pasukan KDA FC meskipun kelab itu telah diswastakan sebagai syarat untuk menyertai Liga Malaysia.

“Bukan saya tak mahu ambil tahu tapi itu bukan urusan yang patut saya utamakan sebab KDA FC sudah diswastakan. Dulu masa KFA tanggung kita usaha untuk dapat (tajaan), tahun ini walaupun swasta kita bagi sumbangan melalui KFA bayar keperluan-keperluan untuk urusan lesen kelab sebanyak RM2 juta.

“Jangan kata Menteri Besar buat tak tahu tetapi untuk gaji dan kekalkan pasukan, syarikat (kelab) lah kena usahakan. Tapi jangan suruh saya pakai duit kerajaan, ada warganet kata macam-macam kepada saya.

“Depa (mereka) pun tak faham kot yang Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dah tetapkan pasukan-pasukan ini diswastakan. Bukan lagi bawah persatuan dan bukan mewakili kerajaan negeri pun tapi kita sokong juga setakat yang boleh,” ujarnya.

Tambahnya, bukan hanya pasukan Kedah menghadapi masalah kewangan itu, namun beliau tidak berhasrat untuk mengulas tentang pasukan negeri lain. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI