PASIR PUTEH – Seorang remaja lelaki diburu selepas dipercayai memecah dua buah tabung derma di Masjid As-Syakirin Mukim Tawar, di sini pada Rabu lalu.
Imam Muda Masjid As-Syakirin Mukim Tawar, Zaizani Azahari berkata, kejadian itu disedari oleh ahli kariah masjid itu sebelum menunaikan solat maghrib pada hari tersebut.
Menurutnya, rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) masjid itu menunjukkan remaja berkenaan masuk ke kawasan masjid dengan menaiki motosikal jenis Honda C70 berwarna merah.
“Remaja itu dilihat menggunakan pengumpil yang dibawa di dalam beg sandang untuk memecah tabung masjid.
“Berdasarkan rakaman CCTV, pihak masjid sudah mengenal pasti remaja yang terlibat,” katanya ketika ditemui pemberita di Masjid As-Syakirin Mukim Tawar, di sini.
Zaizani memberitahu, remaja itu juga dipercayai terlibat dalam kes memecah masuk premis milik penduduk selepas video CCTV masjid tersebar di kumpulan WhatsApp kampung tersebut.
Menurutnya, pengurusan masjid masih tidak dapat mengenal pasti jumlah wang yang dicuri, namun sudah menghantar rakaman CCTV terbabit kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria ketika dihubungi berkata, setakat ini pihaknya belum menerima laporan berkait kejadian itu. – KOSMO! ONLINE