GEORGE TOWN – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) komited dalam usaha menerapkan nilai kemerdekaan melalui perancangan kewangan yang baik agar masyarakat bebas dibelenggu hutang.
Pengerusinya, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menggalakkan budaya penabungan melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) seawal usia sehari.
Menurutnya, ini supaya anak-anak pada usia 18 tahun berpeluang melanjutkan pelajaran tanpa perlu menanggung bebanan hutang yang banyak.
“Apabila anak-anak dewasa kelak, mereka telah merdeka daripada membuat pinjaman pendidikan dan menyambung pengajian menggunakan simpanan yang dibuat di SSPN.
“Jadi, inilah peluang sebab SSPN membolehkan pengecualian cukai sehingga RM8,000 dan dapat dividen yang kompetitif setanding dengan agensi lain serta patuh syariah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Semarak Merdeka Kasih Merdeka PTPTN 2024, di Bayan Baru, di sini semalam.
Hadir sama ialah Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.
Dalam pada itu, Norliza memberitahu, kesedaran dalam budaya menabung dilihat semakin ketara dan mula diterapkan dalam kalangan masyarakat berbanding dahulu.
“Orang kita telah mula memikirkan masa depan pendidikan anak-anak dan kita juga menggalakkannya memandangkan kita nak ubah pemikiran daripada pinjaman kepada penabungan.
“Jangan di saat akhir baru kita hendak cari duit. Kalau zaman dahulu dapat sambung pelajaran kena jual tanah, jual harta tapi sekarang kita simpan daripada kelahiran anak itu supaya usia 18 dengan dividen dan lain-lain,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE