fbpx

Prestasi terbaik usahawan India dalam insiatif SPUMi Goes Big, PENN dan BRIEF-I

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramanan pada Majlis Penyerahan Pembiayaan PENN pada Jumaat lalu.

PETALING JAYA – Kerajaan Madani akan meneruskan usaha memperkasakan ekonomi komuniti India di negara ini, susulan kejayaan pelaksanaan inisiatif pembiayaan SPUMI Goes Big, PENN dan BRIEF-I untuk usahawan kaum India yang menunjukkan prestasi memberangsangkan.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R. Ramanan berkata, sejak dilancarkan dalam tempoh empat bulan lalu, program SPUMI GOES BIG di bawah Tekun Nasional yang memperuntukkan dana tambahan RM30 juta telah mendapat sambutan cukup baik yang mana setakat minggu lepas sebanyak RM10 juta telah diagihkan kepada 202 usahawan.

Menurutnya, SPUMI Goes Big merupakan inisiatif baharu dilancarkan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) pada 3 April lalu.

“Tekun Nasional (Tekun) melancarkan Skim Pembiayaan Pemerkasaan SPUMI (SPUMI Goes Big) untuk memperkasa, menggemilangkan dan menggalakkan kemajuan usahawan masyarakat India dalam bidang keusahawanan.

“Tambahan sebanyak RM30 juta telah diperuntukkan daripada bajet sedia ada RM30 juta pada tahun ini menjadikan keseluruhan peruntukan untuk usahawan masyarakat India berjumlah RM60 juta terbesar sejak skim ini diwujudkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata, bagi program BRIEF-I (Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i) yang dilancarkan pada 5 Jun lalu, sebanyak RM27 juta telah diagihkan kepada 322 usahawan India setakat minggu lepas.

Katanya, untuk program PENN (Prosperity Empowerment and A New Normal) di bawah Amanah Iktihar Malaysia (AIM) yang dilancarkan pada 13 April lalu, turut mendapat sambutan cukup baik dengan RM14 juta telah diagihkan kepada 1,250 usahawan wanita India daripada sejumlah RM50 juta yang diperuntukkan khas untuk program tersebut.

Sementara itu, Ramanan berkata, Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memperuntukkan tambahan RM130 juta secara keseluruhan untuk komuniti India di negara ini bagi tempoh empat bulan lepas.

Jelasnya, ia meliputi tambahan RM50 juta bagi Program Pembiayaan Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i) dan RM30 juta untuk Skim Pembiayaan Pemerkasaan SPUMI (SPUMI Goes Big) di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional di bawah Kuskop.

“SPUMI sejak 2008 hingga 2024, tidak pernah ada penambahan dana. Namun, hari ini kerajaan memperuntukkan RM60 juta (secara keseluruhan) untuk SPUMI.

“Sebelum ini dana untuk usahawan wanita India (PENN) hanya RM20 juta tetapi hari ini Kerajaan Madani telah peruntukkan RM70 juta iaitu tambahan RM50 juta. Saya sendiri memantau proses pemantauan dari masa ke masa,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Kuskop dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan menganjurkan Persidangan Koperasi India buat julung kalinya bulan depan sekali gus memperkasakan lagi perjalanan dan hala tuju Koperasi India di negara ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI