fbpx

PM rasmikan R&R lestari pertama di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANWAR ketika merasmikan R&R Seremban (Arah Selatan), Lebuhraya Utara Selatan, di Seremban, hari ini. Foto AMIR KHALID

SEREMBAN – Perdana Menteri hari ini merasmikan Kawasan Rehat & Rawat (R&R) Seremban (Arah Selatan) di Lebuhraya Utara-Selatan, di sini yang merupakan R&R lestari pertama di lebuh raya negara ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembangunan R&R itu merupakan permulaan penting arah tuju negara dalam menyantuni rakyat dengan memberikan keutamaan kepada kemudahan yang memberikan manfaat.

“Saya sudah lalu di lebuh raya berpuluh tahun belum pernah ada (R&R) seindah ini dengan konsep lestari sebegini rupa. Rakyat Seremban dan Negeri Sembilan memang bertuah, ia satu permulaan yang baik bagi peniaga, bagi rakyat.

“Negara terus capai kemajuan tinggi tapi tidak akan mengabaikan nasib rakyat kerana kita, bertanggungjawab mengangkat martabat mereka dan beri keselesaan,” katanya ketika merasmikan R&R Seremban (Arah Selatan), Lebuhraya Utara Selatan, di sini hari ini.

Perdana Menteri menambah, konsep lestari yang ditampilkan di R&R berkenaan iaitu seperti penggunaan tenaga solar dan sistem penuaian air hujan boleh diperluaskan di kawasan R&R yang lain.

“Menariknya adalah kelestarian solar di atas, air hujan untuk kegunaan bilik air dan tandas. Jadi saya tekankan di sini bahawa R&R Seremban Arah Selatan harus jadi permulaan penting bagi semua lebuh raya di negara kita, ini adalah contohnya,” kata beliau lagi.

Sementara itu, Alexander berkata, konsep R&R lestari berkenaan sangat dialu-alukan dan berharap ia dapat diperluaskan di tempat lain.

“Saya serahkan kepada syarikat konsesi lebuh raya untuk mereka memikirkan untuk buat kerjasama sebab ini semestinya beri keselesaan kepada rakyat selain memberi ruang serta peluang peniaga kecil berniaga di R&R,” kata beliau lagi.

Pembangunan semula R&R Seremban arah selatan yang terletak di Kilometer 274.6 di antara Persimpangan Bertingkat Bandar Baru Nilai dan Bandar Ainsdale melibatkan perbelanjaan berjumlah RM45 juta.

Ia dibina bagi memenuhi keperluan pengguna yang semakin meningkat, dengan mengambil kira pembangunan infrastruktur yang lestari.

Reka bentuk berwajah baharu ini juga telah memperoleh pensijilan Green Building Index (GBI) Gold Rating dan juga telah dibina semula dengan menggunakan bahan-bahan binaan lestari.

Ia juga menjadi R&R pertama yang dilengkapi dengan teknologi hijau seperti panel solar, stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV), sistem penuaian air hujan, mesin pengomposan sisa, tong kitar semula fabrik dan 3R, serta bekas pembungkusan biodegradasi.

R&R Seremban arah selatan ini juga menawarkan medan selera hampir lapan kali ganda lebih besar berbanding asal dan boleh menampung lebih 500 pengunjung selain reka bentuk surau lebih selesa yang boleh menampung sehingga 150 jemaah lelaki dan 150 jemaah wanita. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI