fbpx

Piala Raja Thai: Malaysia kempunan jinakkan Thailand di final

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PASUKAN negara terpaksa berpuas hati muncul naib juara acara berpasukan lelaki pada Piala Raja Thai selepas tewas kepada Thailand di perlawanan akhir. - PSM

KUALA LUMPUR – Skuad sepak takraw negara terus kempunan untuk memenangi acara berpasukan lelaki pada Kejohanan Piala Raja Thai 2024 apabila terpaksa akur dengan kekalahan kepada pasukan tuan rumah, Thailand.

Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Terminal 21, Korat sebentar tadi, kemarau 33 tahun Malaysia untuk menewaskan Thailand dalam acara berpasukan berterusan selepas tewas menerusi keputusan 2-0.

Regu pertama yang dibarisi tekong, Muhammad Haziq Hairul Nizam, Mohamad Azlan Alias (apit kanan) dan Farhan Adam (apit kiri) bermula garang apabila mencatat kemenangan 15-4 di set pertama ke atas Sittipong Khamchan (tekong), Varayut Jantarasena (apit kanan) dan Supasin Boonrueng (apit kiri).

Bersambung set kedua, Thailand melakukan perubahan taktikal dengan memasukkan Kritsanapong Nontakote bagi menggantikan Sittipong dan ia membuahkan hasil apabila mereka menang 15-3 bagi mengheret perlawanan ke set ketiga.

Malaysia yang tersentak dengan kekalahan itu bagaimanapun cuba melakukan kebangkitan di set penentuan, namun pertahanan kebal dipamerkan Thailand menyebabkan pasukan negara sukar mendapat mata sebelum akur tewas 11-15.

Kemudian, pasukan negara mempertaruhkan regu kedua yang dibarisi tekong, Muhammad Zarif Marican, Muhammad Shahalril Aiman (apit kanan) dan Aidil Aiman Azwawi (apit kiri) dalam usaha mengheret perlawanan ke regu ketiga.

Bagaimanapun, kehebatan regu Thailand yang diperkuatkan Siriwat Sakha (tekong), Thawisak Thongsai (apit kanan) dan Rachan Viphan (apit kiri) gagal disaingi pasukan negara apabila terpaksa akur dengan kekalahan 13-15, 9-15.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia menewaskan skuad Gajah Perang itu dalam acara berpasukan adalah pada perlawanan akhir Sukan SEA 1991 yang berlangsung di Manila, Filipina.

Biarpun tidak dapat menamatkan kemarau kejuaraan dalam acara berpasukan, namun Malaysia masih berjaya membawa pulang satu gelaran apabila muncul juara regu lelaki selepas memenangi kesemua empat perlawanan yang dilangsungkan secara liga sepusingan – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI