KETUA Jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente mahu aksi final Pestabola Merdeka menentang Lebanon sebagai medan untuk membuktikan pasukan sedia hapuskan ‘badi’ menentang negara-negara Asia Barat.
Menurut Pau Marti, kelemahan pasukan setiap kali menentang negara dari wilayah Asia Barat sudah dikenalpasti sejak menjadi sebahagian daripada kejurulatihan skuad kebangsaan bermula 2022.
Kata Pau Marti, tiada perubahan ketara yang ditampilkan pada perlawanan nanti, sebaliknya menggunakan pengalaman yang lepas untuk menggempur pasukan Lebanon yang menduduki ranking ke-116 dunia itu.
“Selepas bersama pasukan sejak dua tahun lalu, kita memang sering bertemu pasukan-pasukan dari Asia Barat seperti Oman, Syria dan Jordan.
“Sebahagian besar negara-negara seperti ini menggunakan corak permainan yang sama dan saya pasti kami sudah belajar daripada keputusan hasil pertemuan yang lalu.
“Tiada rahsia mengenai cara untuk menewaskan mereka sebaliknya kita akan gunakan taktikal yang sesuai bagi menentang pasukan Lebanon nanti,” katanya pada sidang media di Subang Jaya, semalam.
Sebagai rekod, kali terakhir skuad negara meraih keputusan positif bertemu negara Asia Barat adalah ketika mengikat Syria 2-2 pada aksi persahabatan antarabangsa di China, tahun lalu.
Selepas itu, Harimau Malaya tewas empat perlawanan berturut-turut ketika bertemu Bahrain dan Jordan dalam kancah Piala Asia 2023 dan dua aksi pertemuan Oman pada kelayakan Piala Dunia 2026, tahun ini.
Sementara itu, Pau Marti turut percaya motivasi pemain untuk menjulang trofi Pestabola Merdeka cukup tinggi sekali gus membantu pasukan untuk menjulang trofi pertama sejak 2013.
Kali terakhir skuad negara menjuarai Pestabola Merdeka adalah ketika edisi 2013 dengan menewaskan Myanmar di pentas final.