fbpx

Pestabola Merdeka: Harimau Malaya juara kali ke-13

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Romel Morales (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan pada aksi final Pestabola Merdeka sebentar tadi. - Foto oleh AMIR KHALID

KUALA LUMPUR – Skuad Harimau Malaya menamatkan penantian 11 tahun untuk menjulang trofi selepas menjuarai Pestabola Merdeka 2024 dengan menewaskan Lebanon di pentas final sebentar tadi.

Pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, skuad negara kendalian Pau Marti Vicente membariskan kesebelasan terbaik dengan Safawi Rasid, Romel Morales dan Endrick Dos Santos mengetuai jentera serangan.

Malaysia tidak menunggu lama untuk menguji gawang lawan tetapi sepakan percuma Safawi seawal minit ke-6 berjaya ditepis penjaga gol, Mehdi Khalil.

Gol yang dicari akhirnya tiba menerusi penyudah Morales pada minit ke-33 selepas menerima hantaran Dos Santos.

Tersentak dengan gol tersebut, pasukan Lebanon yang menduduki ranking ke-114 dunia berusaha untuk bangkit pada babak kedua.

Namun, jentera serangan negara masih lagi ghairah mengasak kubu pasukan Asia Barat itu tetapi beberapa percubaan yang berjaya dilakukan oleh pemain gantian, Arif Aiman Hanapi dan Akhyar Rashid berjaya dipatahkan.

Lebanon turut memiliki peluang untuk menyamakan kedudukan menerusi serangan balas pantas pada minit ke-66 tetapi tandukan Majed Osman berjaya diselamatkan penjaga gol kebangsaan, Ahmad Syihan Hazmi.

Nasib pasukan lawan bertambah malang apabila pemain pertahanan, Khalil Khamis melakukan kekasaran ke atas Arif Aiman ketika saingan berbaki 15 minit.

Skuad negara berusaha untuk mencari gol kedua tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kemenangan tersebut menyaksikan skuad negara menjulang trofi Pestabola Merdeka buat kali ke-13 dalam sejarah dan yang pertama sejak edisi 2013. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI