fbpx

Perang hampiri 12 bulan, harapan gencatan senjata tipis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk berjalan melalui serpihan bangunan yang dibom tentera Israel di kejiranan Sheikh Radwan, Bandar Gaza pada 3 September lalu. - AFP

BANDAR GAZA – Peperangan antara Israel dan Hamas di Semenanjung Gaza menghampiri bulan ke-12 semalam dengan tanda-tanda gencatan senjata dilihat tipis ketika kedua-dua pihak berkeras dengan pendirian masing-masing.

Selepas serangan bermula pada 7 Oktober tahun lalu, kini, kumpulan pejuang Hamas menuntut pengunduran sepenuhnya askar Israel tetapi Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menegaskan tenteranya mesti kekal di sepanjang sempadan Gaza-Mesir.

Amerika Syarikat, Qatar dan Mesir menjadi pengantara dalam usaha untuk mengadakan gencatan senjata perang tersebut, yang menurut pihak berkuasa Gaza, telah membunuh sekurang-kurangnya 40,939 orang.

Menurut pejabat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kebanyakan yang mati adalah wanita dan kanak-kanak.

Daripada 251 tebusan yang ditahan oleh Hamas emasa serangan 7 Oktober di Israel, 97 masih kekal di Gaza, termasuk 33 yang menurut tentera Israel telah mati.

Berpuluh-puluh tebusan telah dibebaskan semasa gencatan senjata selama seminggu pada November tahun lalu.

Pengumuman pihak berkuasa Israel pada Ahad lalu bahawa mayat enam tebusan ditemui di Gaza mencetuskan kesedihan dan kemarahan di Israel.

Beratus-ratus ribu penunjuk perasaan berhimpun di Tel Aviv dan bandar-bandar Israel lain bagi menuntut Netanyahu membebaskan tebusan dan mencapai gencatan senjata.

Sementara itu, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken berkata minggu lalu bahawa 90 peratus persetujuan telah dicapai dalam perjanjian gencatan senjata, selain turut menggesa Israel dan Hamas untuk memuktamadkan perjanjian.

Netanyahu bagaimanapun menafikan perkara itu dengan memberitahu Fox News: “Ia tidak menghampiri (gencatan senjata)”.

Hamas menuntut Israel berundur sepenuhnya dari Semenanjung Gaza, dengan berkata bahawa kumpulan itu bersetuju beberapa bulan lalu dengan cadangan yang digariskan oleh Presiden AS Joe Biden. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI