fbpx

Penjawat awam disyaki dalang edar dadah antara 10 diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis menahan seramai 10 individu termasuk seorang penjawat awam yang disyaki dalang pengedaran dadah sekitar Lembah Klang dan Johor menerusi Ops Telomian serta Ops Tosa yang dijalankan serentak pada Khamis dan Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, suspek yang ditahan berusia 27 hingga 52 tahun terdiri daripada lapan warga tempatan serta dua warga Thailand.

Katanya, Op Telomian dijalankan di Taman Bukit Cheras, Desa Tun Razak, Kuala Lumpur dan Kajang, Selangor.

“Kegiatan tiga lelaki dan dua wanita termasuk warga Thailand, dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah terbongkar apabila pasukan memeriksa tiga buah kenderaan Perodua Myvi di Taman Bukit Cheras serta dua buah rumah sekitar ibu negara.

“Kita merampas dadah jenis syabu, ganja dan pil erimin 5 dengan berat 50.33 kilogram (kg) bersama pelbagai peralatan seperti penimbang digital, pelekat dan plastik,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Susulan penahan itu, serbuan seterusnya dibuat ke atas sebuah kuarters kerajaan di Kajang dan menahan seorang lelaki berusia 38 tahun dipercayai mendalangi aktiviti pengedaran dadah ini.

Sementara itu, bagi Ops Tosa, Kok Chin berkata, tiga lelaki dan seorang wanita ditahan dalam empat siri serbuan dilaksanakan di Taman Perdana, Kota Puteri, Masai dan Kempas Indah, Johor Bahru.

Jelasnya, sebanyak 5.606 kg dadah jenis syabu, heroin dan pil yaba serta 499 biji pil erimin 5 ditemukan hasil daripada pemeriksaan dibuat ke atas sebuah motosikal, kereta Honda City dan dua rumah.

“Dalam dua operasi ini, dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM2 juta selain turut menyita dua buah kereta Mazda CX5 dan Toyota Vios, wang tunai RM68,046 dan lima barang kemas dengan keseluruhan sitaan bernilai RM151,416.

“Modus operandi sindiket ini adalah mendapatkan bekalan dalam kuantiti besar sebelum dijual secara kecil-kecilan kepada pengguna di pasaran tempatan,” jelasnya.

Sindiket ini dipercayai bergiat aktif sejak awal tahun ini manakala dadah yang dirampas boleh diguna oleh kira-kira 30,000 penagih.

“Empat daripada 10 suspek ditahan positif methamphetamine manakala tujuh suspek didapati mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI