TAWAU – Seorang pekerja kilang berusia 51 tahun maut selepas dihempap gelung besi di sebuah kilang di Batu 3, Jalan Apas, dalam kejadian pukul 1.30 petang semalam.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 1.40 petang.
Katanya, seramai sembilan anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati seorang lelaki cedera parah dipercayai akibat dihempap gelung besi. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan dan siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE