fbpx

PDRM jawab dakwaan pelakon wanita siasatan tidak ikut SOP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramli.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyangkal dakwaan pelakon wanita, Betty Banafe berhubung kenyataan pihak polis tidak mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dalam siasatan 14 laporan sejak dua tahun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya mengambil maklum berkenaan satu hantaran video melalui pemilik akaun TikTok @bettybanafee.

Katanya, video tersebut menyatakan JSJK telah gagal membuat siasatan terhadap 14 laporan polis itu.

“Berdasarkan semakan, 14 laporan polis tersebut telah dibuat oleh penama Shakib Abu Bakar Banafee (dipercayai adik kepada individu dalam video tersebut) dan empat penama lain yang berkaitan.

“Kesemua laporan tersebut disiasat dengan sewajarnya oleh pihak polis melalui dua kertas siasatan yang telah dibuka masing-masing di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan Seksyen 420 akta sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kata beliau, siasatan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan telah selesai dan kes diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) oleh Jabatan Peguam Negara pada Jun lalu.

“Ia selepas didapati tiada keterangan yang mencukupi untuk menimbulkan elemen kesalahan pecah amanah dalam kes tersebut,” katanya.

Tambah beliau, siasatan kes itu telah dirujuk dan disemak semula oleh pihak Peguam Cara Negara pada Ogos lalu dan keputusan NFA dikekalkan.

“Pegawai penyiasat juga telah pun mengemukakan pemberitahuan kepada pengadu dalam kes terbabit berkenaan keputusan siasatan kes,” ujarnya.

Beliau berkata, bagi kes di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, siasatan masih dijalankan.

“PDRM memberi jaminan siasatan yang adil serta telus akan dilaksanakan bagi memastikan prinsip undang-undang dan keadilan sentiasa dipelihara,” tambahnya.

Ramli menegaskan semua laporan polis yang diterima akan disiasat dengan sewajarnya tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Jelasnya, siasatan yang dijalankan akan merangkumi keterangan serta bukti daripada pihak-pihak yang berkaitan termasuklah pengadu dan suspek.

“Adalah tidak wajar untuk melemparkan tuduhan negatif kepada pihak polis hanya disebabkan dapatan siasatan tidak berpihak kepada pengadu,” tegasnya.

Justeru itu, beliau menegaskan PDRM menyangkal dakwaan tersebut dan menyifatkan ia sebagai tindakan yang tidak bertanggungjawab.

“Dakwaan yang dilemparkan oleh pemilik akaun TikTok @bettybanafee bahawa pihak polis tidak mempunyai SOP dalam siasatan adalah tidak benar sama sekali,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI