PETALING JAYA – Menempelak netizen yang serba tahu, pelakon Rita Rudaini berang apabila pihak luar cuba mengatur kehidupan mereka tiga beranak.
Rita atau nama sebenarnya sebenarnya Rita Rudaini Mokhtar, 48, berkata, sebagai ibu terpulang kepada dirinya mahu mendidik anak-anak mengikut acuan sendiri.
“Netizen terpaling DNA dan terpaling ‘3K’, suka hati sayalah nak besarkan dan jaga anak saya macam mana. Lebih baik dari tak ambil tahu langsung,” katanya.
Luahan tersebut dikongsi pelakon filem Mami Jarum Junior itu dipercayai susulan tindakan segelintir individu mempertikaikan caranya membesarkan anak-anak.
Menerusi hantaran sama, Rita juga menegaskan tidak pernah berkira dalam memastikan keperluan dua permata hati yang dijaga sendirian sejak lahir serba lengkap.
Demi Airit Rayyan Rizqin, 15, dan Airit Qaqa Arjuna, 13, membesar dengan sempurna, dia sanggup bekerja keras dan berkorban apa sahaja.
“Saya tak berkira bila melibatkan bab belanja besarkan anak-anak dan saya juga tidak suka pembaziran.
“Sudah 15 tahun saya urus sendiri. Rezeki yang saya dapat sama ada banyak atau sedikit, itu adalah rezeki anak-anak saya.
“Tak salah saya belanjakan untuk keperluan mereka asalkan ke arah kebaikan masa depan mereka,” tulisnya dalam Insta Story.
Sebelum ini Rita lantang bersuara apabila nama anak-anaknya ‘dipetik’, terutama ketika ada individu mengaitkan kejayaan mereka dengan bekas suaminya, Aidil Zafuan.
Aktres itu pernah mendirikan rumah tangga dengan Aidil sekitar tahun 2008, namun mereka bercerai lima tahun kemudian. – KOSMO! ONLINE