SEOUL, KOREA SELATAN – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tiba di Seoul, Korea Selatan bagi memulakan lawatan kerja rasmi selama lima hari bermula hari ini ke republik berkenaan.
Mohamed Khaled dan delegasi Kementerian Pertahanan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon pada pukul 7.45 pagi (waktu tempatan) sebelum disambut Kaunselor (Pertahanan) Kedutaan Tinggi Malaysia di Seoul, Kolonel Mohamad Nazri Ahmad.
Menerusi lawatan kerja rasmi itu, Mohamed Khaled dijadualkan menghadiri Responsible AI in the Military Domain (REAIM) Summit 2024 yang akan berlangsung di Lotte Hotel, Seoul.
Untuk rekod, REAIM merupakan platform perbincangan global dengan semua pihak berkepentingan berkaitan cara untuk memastikan aplikasi ketenteraan AI yang bertanggungjawab.
Sidang Kemuncak REAIM 2024 dihoskan secara bersama oleh Belanda, Singapura, Kenya, United Kingdom dan Ireland Utara.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut dijadualkan menyertai Seoul Defence Dialogue (SDD) 2024 yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Korea Selatan, Han Duck-Soo.
Kemudiannya, Mohamed Khaled juga bakal mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Pentadbiran Program Pemerolehan Pertahanan (DAPA) Korea, Mejar Jeneral (B) Seok Jong Gun.
Selain itu, agenda kunjungan hormat turut melibatkan pertemuan empat mata bersama Menteri Pertahanan Nasional Korea, Kim Yong-Hyun.
Dalam masa sama, Mohamed Khaled turut dijadualkan mengadakan lawatan rasmi ke Korea Aerospace Industries Ltd. (KAI), sekali gus dilihat berupaya mengeratkan hubungan syarikat industri pertahanan antara kedua negara.
Sebelum ini, pada penganjuran pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) tahun lalu, Kementerian Pertahanan dan KAI menandatangani kontrak untuk memperoleh 18 pesawat pejuang ringan FA-50M.
Pesawat pejuang ringan FA-50M yang bakal diperoleh TUDM membabitkan varian FA-50 Block 20.
Pesawat itu adalah yang paling moden dan berkeupayaan berbanding varian diperoleh negara lain termasuk Korea Selatan dan beberapa negara di Asia Tenggara.
Pesawat pejuang ringan FA-50/T-50 buatan Korea Selatan itu, turut digunakan oleh tentera udara Thailand, Indonesia dan Filipina di Asia Tenggara. – KOSMO! ONLINE