SIK – Seorang lelaki tersangkut di atas pokok pada ketinggian 4.57 meter dengan kecederaan pada kaki akibat ditimpa dahan di belakang Kuarters Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Dusun, di sini petang tadi.
Kejadian berlaku ketika lelaki berusia 35 tahun itu sedang melakukan kerja-kerja pemangkasan pokok seorang diri sebelum disedari seorang guru.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, setelah menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.50 petang, sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.
“Ketika tiba di tempat kejadian didapati mangsa masih tersangkut di celah pokok dengan kaki kiri cedera akibat dihempap dahan pokok sebesar 0.25 meter yang dipotongnya. Pasukan penyelamat menggunakan tangga dan peralatan khas untuk membantu mengeluarkan mangsa,” katanya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE