fbpx

Kapasiti rawatan air di Pulau Pinang meningkat 114 JLH sehari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kerja-kerja pemasangan paip baharu menyeberangi Sungai Perai berdekatan Jambatan Ampang Jajar telah dimulakan.

SEBERANG PERAI – Kapasiti rawatan air di Pulau Pinang akan meningkat sebanyak 114 juga liter sehari (JLH) menerusi Pakej 12A di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua, bermula bulan ini.

114 JLH adalah bersamaan dengan jumlah air yang boleh digunakan untuk mengisi 76 juta botol air minuman 1.5 liter yang besar setiap hari.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir K. Pathmanathan berkata, Pakej 12A merujuk kepada modul rawatan air baharu yang dibina di kawasan LRA Sungai Dua.

“Modul ini dibina dengan pantas sebagai respons terhadap peningkatan permintaan air pasca pandemik. LRA Sungai Dua adalah loji rawatan air terbesar dan paling penting di Pulau Pinang. Air terawat dari loji ini dibekalkan kepada kira-kira 465,000 pengguna air setiap hari.

“Oleh itu, manfaat daripada Pakej 12A akan dinikmati oleh 465,000 pengguna air di kawasan perkhidmatan LRA ini,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, di tanah besar, kawasan perkhidmatan LRA Sungai Dua merangkumi kebanyakan kawasan di Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS).

“Air terawat dari LRA Sungai Dua juga dipam kepada pengguna di Daerah Barat Daya (DBD) dan beberapa kawasan di Daerah Timur Laut (DTL) di bahagian pulau.

“Pada tahun ini, PBAPP juga mengepam sehingga 33 JLH air dari Sungai Dua ke kawasan perkhidmatan Air Itam di bawah Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP 2024),” ujarnya.

Menurut beliau, Ketua Menteri Pulau Pinang, Tuan Chow Kon Yeow dijadual akan merasmikan Pakej 12A di Sungai Dua pada 14 September ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, kerja-kerja pemasangan paip baharu menyeberangi Sungai Perai sepanjang 180 meter berdiameter 1.35 meter, berhampiran Jambatan Ampang Jajar telah dimulakan.

“Paip ini dijadualkan mula beroperasi pada Januari 2026. Apabila siap, paip menyeberangi Sungai Perai ini akan membolehkan PBAPP membawa lebih banyak aliran dan jumlah air terawat dari LRA Sungai Dua ke bahagian pulau.

“Sebelum ini, paip berukuran 600mm dipasang sebagai penyelesaian sementara untuk pam air ke bahagian pulau selepas paip bawah air berukuran 1.35 meter yang berkarat, bocor berulang kali di dasar sungai pada Disember 2023 dan Januari 2024,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI