fbpx

Ibu bapa, penjaga disaran cakna hantar anak ke taska – KPWKM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Ibu bapa serta penjaga disaran agar sentiasa cakna dalam memastikan anak-anak mereka dihantar ke taman asuhan kanak-kanak (taska) berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam kenyataan berkata, ini bagi mengelakkan berlakunya kes seperti kecuaian, pengabaian dan penderaan.

Katanya, taska berdaftar juga akan dipantau dan diperiksa secara berkala oleh JKM, selain dibuat pemeriksaan mengejut oleh Pegawai Yang Diberi Kuasa sekurang-kurangnya dua kali setahun.

“Selain itu, satu Garis Panduan Khas Tindakan Penguatkuasaan Lak dan Perintah Penutupan ke atas Taska serta Pusat Jagaan yang dalam siasatan polis juga telah dikeluarkan berkuat kuasa pada 10 April tahun lalu.

“Garis panduan ini bagi memastikan tindakan segera dapat diambil bagi kes melibatkan taska dan pusat jagaan yang dalam siasatan polis kerana disyaki terdapat kes penderaan, pengabaian atau mendatangkan bahaya kepada kanak-kanak,” katanya hari ini.

Kementerian berkenaan memberitahu, pendaftaran taska turut diletakkan prasyarat untuk setiap pengasuhnya mempunyai Sijil Kursus Asuhan Permata (KAP) dan pelbagai tindakan proaktif telah dilaksanakan dalam usaha melindungi kanak-kanak daripada kejadian tidak diingini di taska.

“Berdasarkan operasi pemutihan taska mulai September tahun lalu, JKM telah mengenal pasti sebanyak 1,080 taska diseluruh negara yang tidak berdaftar dan tindakan penguatkuasaan telah dilaksanakan supaya pihak yang terlibat dengan segera membuat pendaftaran.

“JKM juga telah mengeluarkan sebanyak 76 arahan bertulis, perintah penutupan sementara (empat), pembatalan perakuan pendaftar (218), tindakan LAK (tujuh), kompaun (17), dan pendakwaan (dua) telah direkodkam pada 2020,” ujarnya.

Kementerian memaklumkan orang ramai boleh memperoleh senarai taska berdaftar melalui semakan di laman sesawang JKM di www.jkm.gov.my.

“Orang ramai juga diseru membuat aduan kepada Talian Kasih di 15999 atau nombor WhatsApp 019-2615999 atau menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah yang berhampiran sekiranya mendapati terdapat taska yang tidak berdaftar,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI