fbpx

ACT 2024: Malaysia bangkit ikat Pakistan 2-2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AKSI pemain-pemain negara ketika berdepan Pakistan pada aksi sulung ACT 2024 sebentar tadi. - MHC

KUALA LUMPUR – Skuad hoki lelaki negara memulakan kempen Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2024 dengan penuh debaran apabila bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat Pakistan seri 2-2 pada perlawanan yang berlangsung di Inner Mongolia, China sebentar tadi.

Ketua jurulatih skuad hoki lelaki Kebangsaan, Sarjit Singh memuji kebangkitan anak-anak buahnya meskipun ketinggalan 0-2 pada separuh masa pertama selepas Pakistan mempamerkan dominasi permainan dengan jaringan pada minit ke-24 dan ke-32.

“Walaupun ketinggalan pada separuh masa pertama, pasukan tidak panik dan barisan jurulatih memberi beberapa arahan untuk pemain bangkit daripada ketinggalan.

“Kebangkitan yang cukup baik selepas ketinggalan 0-2, pemain menunjukkan karakter yang baik untuk mengejar Pakistan tetapi kami tidak boleh selalu ketinggalan begini kerana bukan mudah untuk melakukan ‘comeback’ di peringkat antarabangsa,” katanya.

Dalam aksi tersebut, jaringan sudut penalti dihasilkan oleh Faizal Saari pada minit ke-37, sebelum Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi melengkapkan jaringan pada penghujung perlawanan, iaitu di minit ke-56 sekali gus mencatat keputusan seri.

Meskipun berjaya bangkit, Speedy Tigers dilihat masih memerlukan penambahbaikan selepas beberapa peluang keemasan untuk memenangi perlawanan terlepas begitu sahaja, terutamanya apabila Pakistan melakukan kesilapan taktikal dalam perlawanan.

“Menjelang perlawanan esok, kami perlu memperbaiki hantaran ke dalam kotak ‘D’ lawan. Kami tidak melakukannya dengan baik pada separuh masa pertama. Jika kami dapat memperbaiki kelemahan ini dengan cepat, pasti banyak peluang boleh dicipta,” tambahnya.

Seterusnya, skuad Speedy Tigers bakal berdepan cabaran pasukan tuan rumah, China dalam perlawanan kedua esok dengan harapan anak-anak buah Sarjit itu mampu meningkatkan prestasi bagi memastikan tiga mata penuh.

Pada edisi 2023, kejohanan yang menampilkan enam pasukan terbaik Asia itu menyaksikan Malaysia meraih gelaran naib juara selepas tewas 3-4 kepada India di perlawanan akhir. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI