fbpx

Tanah jerlus: Kejadian berlaku ekoran aktiviti manusia, cuaca, hakisan tanah tambak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lokasi tanah jerlus yang menjadi tumpuan operasi SAR di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

PUTRAJAYA – Kejadian tanah jerlus di Masjid India, Kuala Lumpur akibat faktor antropogenik (aktiviti manusia), cuaca dan juga hakisan lapisan tanah tambak di bawah permukaan kawasan tersebut.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam kenyataan berkata, faktor berkenaan adalah hasil siasatan yang dilakukan oleh pelbagai agensi bertanggungjawab ekoran kejadian berkenaan.

Jelas NRES, satu laporan teknikal hasil siasatan berkaitan geologi dan struktur bawah permukaan akan disediakan oleh kumpulan Task Force Struktur Tanah Masjid India yang diterajui oleh Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur dalam jangka masa tiga bulan.

“Secara am, NRES menegaskan bahawa Kuala Lumpur adalah selamat untuk dihuni.

“Walau bagaimanapun, pemantapan terhadap aspek pemantauan, penyelenggaraan, prosedur dan kaedah penyiasatan bawah permukaan meliputi struktur binaan bawah tanah dapat mengenal pasti dan mengelak sebarang ancaman tanah jerlus dan lubang benam yang mungkin berlaku,” katanya hari ini.

Kementerian itu berkata, siasatan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah menggunakan peralatan Ground Penetration Radar (GPR) bagi mendapatkan gambaran strata geologi dan sistem utiliti bawah permukaan kawasan kejadian bagi tujuan proses pemulihan menyeluruh oleh pihak bertanggungjawab.

“Dari segi geologi, batuan dasar di Kuala Lumpur didasari oleh sejumlah anggaran 30 peratus batu kapur dan 70 peratus terdiri daripada batuan granit dan batuan metasedimen iaitu Formasi Kenny Hill, Syis Hawthornden dan Syis Dinding.

“Manakala kawasan tanah jerlus adalah didasari oleh batuan syis, filit dan kuarzit Formasi Kenny Hill,” ujarnya.

Katanya, Kementerian itu melalui JMG juga sedang menambahbaik data bawah permukaan kawasan Lembah Klang yang meliputi 10 buah Pihak Berkuasa Tempatan melalui Projek Pemetaan Geologi Sub-permukaan Greater KL bagi melengkapkan lagi maklumat sedia ada bawah permukaan Kuala Lumpur yang telah dijalankan di bawah projek 3DKL.

NRES turut menasihatkan orang awam agar tidak mempercayai sebarang spekulasi yang dikeluarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab mengenai keadaan keselamatan bawah permukaan Kuala Lumpur serta perlu mendapatkan maklumat yang sahih dari pihak berautoriti dalam sebarang kejadian bencana geologi.

Dalam insiden pada 23 Ogos lalu, seorang pelancong dari India, G. Vijaya Lakshmi, 48, hilang selepas terjatuh akibat kejadian tanah jerlus ketika berjalan kaki di lokasi terbabit.

Namun pada 31 Ogos lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa memaklumkan, operasi mencari dan menyelamat yang memasuki hari kesembilan ditamatkan serta-merta atas faktor keselamatan semua pihak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI