KLUANG – Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah dicalonkan bagi mewakili Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September nanti.
Pencalonan yang diumumkan oleh Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Mahkota yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Onn Hafiz yang juga Menteri Besar Johor berkata, keputusan memilih Syed Hussien itu dibuat selepas perbincangan dilakukan bersama Presiden UMNO, Datuk Sri Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam pada itu, Syed Hussien, 40, berkata, pengalaman 22 tahun sebagai ahli UMNO menjadikannya sinonim dengan perjuangan mempertahankan hak bangsa, agama dan negara seperti yang ternyata di dalam perlembagaan parti UMNO.
“Saya amat berterima kasih atas kepercayaan kepimpinan tertinggi parti untuk memberikan tanggungjawab besar ini kepadanya.
“Tunjuk ajar pemimpin tertinggi khususnya diperingkat Bahagian Kluang, tanggungjawab membawa suara pengundi pasti akan dapat dilakukan dengan sebaik-baiknya selepas terpilih nanti,” katanya ketika ditemui media di sini.
Syed Hussien merupakan anak kedua daripada lima beradik berkebolehan berkomunikasi dalam bahasa Mandarin selain bahasa Inggeris.
Ia membolehkannya mendekati pelbagai golongan masyarakat khususnya masyarakat Tiong Hwa di dalam kawasan Bahagian Kluang. – KOSMO! ONLINE