PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memberi amaran akan menarik semula darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan jika ada daripada mereka terlibat dengan jenayah, mencemarkan nama negara atau dihukum oleh mahkamah.
Baginda bertitah, semua penerima darjah kebesaran Persekutuan untuk sentiasa jujur, amanah dan menjaga tingkah laku.
“Sekiranya ada penerima yang mencemarkan nama negara atau melakukan jenayah dan telah dihukum oleh mahkamah, maka segala darjah dan pingat kebesaran akan ditarik balik. ‘Good bye to it’ (selamat tinggal kepadanya),” titah Sultan Ibrahim.
Baginda bertitah pada Istiadat menghadap dan istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong hari ini.
Turut berangkat di istiadat yang berlangsung di Balairung Seri Istana Negara itu ialah Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Yang di-Pertuan Agong bertitah, Baginda menilai setiap satu pencalonan yang dibawa oleh kerajaan dan banyak pihak yang menaruh harapan untuk mendapatkan darjah kebesaran.
“Ada juga yang terpedaya dan ditipu oleh agen-agen yang mengambil kesempatan. Malah, ramai juga yang melobi saya untuk mendapatkan darjah ‘Datuk’ dan ‘Tan Sri’. Kenapa saya hendak melayan semua ini?.
“Pertimbangan dibuat kepada calon yang betul-betul layak serta yang telah berkhidmat dan berjasa kepada kerajaan, masyarakat dan negara,” titah Seri Paduka Baginda.
Pada istiadat berkenaan, seramai 116 penerima diperkenankan untuk menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat di Istana Negara, hari ini. – KOSMO! ONLINE