TANJUNG MALIM – Seorang wanita berumur sekitar 20-an maut dalam nahas melibatkan empat buah kenderaan di Kilometer (KM) 363.0 Lebuh Raya Utara-Selatan arah Selatan di sini kira-kira pukul 6.16 pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kemalangan itu melibatkan tujuh mangsa.
“Seorang mangsa meninggal dunia, seorang cedera parah, tiga cedera ringan dan dua orang lagi selamat.
“Kemalangan melibatkan empat buah kenderaan dan mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan bomba,” katanya di sini hari ini.
Kemalangan melibatkan sebuah lori lima tan, sebuah kereta jenis Nissan Serena dan dua buah motosikal.- KOSMO! ONLINE