PELAKON, penyanyi dan usahawan terkenal Hollywood, Selena Gomez kini telah memegang status sebagai bilionair.
Semua itu adalah hasil kejayaan rangkaian kosmetik Rare Beauty yang dimilikinya kerana disebabkan penjualan produk kecantikan itu dia telah mengaut keuntungan berlipat kali ganda sehingga mendapat status bilionair.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Bloomberg, pelakon dan penyanyi berusia 32 tahun itu telah mengumpul kekayaan bernilai (RM5.7 bilion (US$1.3 bilion), sekali gus menjadikannya antara wanita muda yang bergelar bilionair di Amerika Syarikat.
Selain mengaut keuntungan daripada hasil jualan Rare Beauty, pelakon filem Monte Carlo ini turut menjana pendapat lumayan dengan menjadi duta kepada jenama-jenama terkenal seperti Louis Vuitton, Coach dan Puma.
Biarpun terlibat dalam beberapa projek lakonan dan muzik, namun pendapatannya dalam bidang seni tidak seberapa jika dibandingkan dengan hasil daripada perniagaannya.
Sebagai wanita yang memiliki jumlah pengikut Instagram paling tinggi iaitu sebanyak 424 juta, pengaruh Selena sangat kuat terutamanya dalam bidang kecantikan kerana dia sering berkongsi video tutorial menggunakan produk Rare Beauty.
Rare Beauty mula dilancarkan pada tahun 2020 sekitar benua Amerika sebelum dijual di seluruh dunia menerusi peruncit multinasional, Sephora serta penjualan dalam talian.
Antara produk yang menjadi viral di seluruh dunia adalah pewarna bibir serta bedak asas yang hadir dalam pelbagai warna dan tona kulit.
Selena bukanlah selebriti wanita pertama yang berjaya meraih status bilionair disebabkan memiliki jenama kosmetik.
Sebelum ini penyanyi Rihanna juga telah mendapat status bilionair dek jenama Fenty Beauty miliknya menjadi antara jenama kosmetik terlaris dunia.
Kim Kardashian pula bergelar bilionair pada tahun 2021 selepas berjaya mengaut keuntungan hasil daripada jualan jenama KKW Beauty dan Skims. – KOSMO! ONLINE