MADRID – Gergasi La Liga, Real Madrid kini menyasarkan pemain tengah Manchester City, Rodri sebagai pengganti jangka panjang kepada Toni Kroos selepas beberapa musim menampilkan prestasi luar biasa bersama juara Liga Perdana Inggeris (EPL).
Rodri dianggap pilihan utama untuk memperkuatkan bahagian tengah Real selepas bukan sahaja memainkan peranan penting dalam kejayaan City memenangi EPL keempat berturut-turut, tetapi merupakan figura utama di sebalik kemenangan Sepanyol di Euro 2024.
Penampilannya yang mantap turut meletakkan namanya di tempat kelima dalam anugerah Ballon d’Or sekali gus memperkukuhkan reputasinya sebagai salah seorang pemain terbaik dunia.
Bagaimanapun, City tidak rela melepaskan pemain terbaik mereka pergi apabila dikhabarkan menawarkan kontrak baharu yang lumayan dengan gaji mingguan sebanyak £375,000 (RM2.14 juta) untuk menjadikannya sebaris dengan pemain bintang, Kevin De Bruyne.
Meskipun masih mempunyai baki tiga tahun kontrak, City dilaporkan mahu memastikan masa depan Rodri tetap terjamin susulan pemain tengah itu mendedahkan ada usaha dari rakan-rakannya di Real memujuknya untuk berpindah ke Santiago Bernabeu.
Real Madrid yang terus merancang untuk mengukuhkan barisan pemain tengah selepas kehilangan beberapa pemain utama akan menjadikan spekulasi perpindahan Rodri dijangka menjadi salah satu cerita paling menarik pada musim panas akan datang. – AGENSI