fbpx

PRK Mahkota: Jangan sabotaj calon – Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid pada Majlis Pelancaran Jentera BN dan Pengumuman Calon BN di Barisan Nasional Command Center di Taman Sri Kluang, Kluang hari ini. - Foto oleh RAJA JAAFAR ALI / KOSMO!

KLUANG – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berharap tidak berlaku sabotaj atau sebarang masalah selepas calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota diumumkan hari ini.

Beliau yang juga Presiden UMNO mahu semuanya berjalan lancar dengan semua jentera parti bergerak dengan baik seperti yang ditunjukkan dalam PRK DUN Nenggiri bulan lalu.

“Semua jentera mesti gerak dengan baik, jentera MCA mesti gerak cukup kuat, ‘assignment’ (beri tugas) kepada MIC untuk santuni masyarakat India.

“Kita mahu dari 7 sampai 14 September ini (sebelum hari penamaan calon), ada tujuh hari, siapa pun jadi calon, ambil masa tujuh hari ini untuk pemujukan jentera dan penyokong.

“Tak lupa rakan-rakan Parti Amanah Negara (Amanah), DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), ini pertama kali kita kombinasikan dalam satu pasukan, pasukan DUN Kerajaan Perpaduan untuk DUN Mahkota,” katanya berucap dalam Majlis Pelancaran Jentera dan Pengenalan Calon Barisan Nasional Pilihan Raya Kecil N.29 Mahkota di Command Center BN N29 Mahkota di sini hari ini.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah diumumkan sebagai calon BN bagi PRK DUN Mahkota hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kombinasi serta solidariti yang baik ditunjukkan BN dan PH itu akan menjadi formula dalam berdepan PRN di Melaka dan Johor serta Pilihan Raya Umum ke-16 nanti.

Katanya, seramai 17 nama dikemukakan kepadanya dan beliau mengkaji senarai calon yang mempunyai ciri ‘wali’ iaitu boleh memenangi (winnable), diterima (acceptable) dan disukai (likeable) selain berkaliber dan berdaya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI