KULAI – Setiap platform media sosial perlu mempunyai moderator kandungan (content moderator) yang boleh memahami pelbagai bahasa khususnya bahasa tempatan selain Bahasa Inggeris.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, ia bagi membolehkan platform media sosial itu memantau dan memahami kandungan yang dimuat naik oleh pengguna yang berkemungkinan menyalahi undang-undang.
Katanya, ini kerana majoriti pengguna media sosial di negara ini memuat naik kandungan menggunakan bahasa tempatan sama ada bahasa Melayu, Mandarin atau Tamil berbanding bahasa Inggeris.
“Sangat penting untuk platform-platform mempunyai moderator yang fasih pelbagai bahasa tempatan, sangat susah kalau content moderator mereka bukan dari Malaysia atau tidak faham bahasa tempatan.
“Sukar untuk mereka kenal pasti kebarangkalian jenayah yang akan berlaku di platform mereka jadi perlulah ada moderator yang faham pelbagai bahasa tempatan selain bahasa Inggeris,” katanya.
Ditanya mengenai pemandu bas sekolah lelaki yang memuat naik kandungan dengan memanggil kanak-kanak perempuan sebagai kesayangan dan ‘crush’, Nie Ching berkata, akaun TikTok ‘Abang Bas’ telah dipadam.
Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, orang awam diingatkan supaya tidak sesuka hati memuat naik kandungan yang melibatkan orang lain khususnya kanak-kanak. – KOSMO! ONLINE