fbpx

Model Depo Lateks Berprestasi bantu tingkat pendapatan pekebun kecil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid meletakkan Plat Rentan Bencana sempena Majlis Perasmian Karnival Risda Madani Zon Selatan 2024 di Dataran Uptown,  Kluang hari ini. - Foto oleh RAJA JAAFAR ALI / KOSMO!

KLUANG – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan melancarkan Model Depo Lateks Berprestasi Tinggi sebagai usaha memperkukuh rantaian nilai industri getah untuk pekebun kecil pada tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, insentif itu bakal menyediakan pusat pengumpulan dan pemprosesan lateks serta pemprosesan kepingan getah asap berbunga (RSS).

Beliau yang juga Menteri Luar Bandar dan Wilayah berkata, model berkenaan akan dilengkapi dengan pelbagai teknologi termasuk sistem penapisan, pembekuan, penggilingan dan pengeringan.

“Melalui kawasan penanaman getah seluas 3,000 hektar, model ini bakal memberi manfaat kepada 2,000 pekebun kecil seluruh negara dalam menghasilkan 4,500 metrik tan lateks kering.

“Ini terutamanya melalui Projek tanam semula Komuniti (TSK) dan Program Agropolitan yang diuruskan RISDA Plantation Sdn Bhd,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival RISDA Madani di Jalan Bakawali di sini hari ini.

Beliau berkata, lima kawasan stratetgik telah dikenal pasti untuk pelaksanaan model berkenaan iaitu di Johor, Perak, Pahang, Kedah dan Sarawak.

Ujarnya, program itu merupakan sebahagian aspirasi Desa Madani yang bertujuan memperkasakan sektor pekebun kecil melalui pelbagai inisiatif sokongan.

Ahmad Zahid memakai jaket kepada Haryazid Mohd. Halimi dan menyampaikan kad pentauliahan CDA ERT sambil diperhatikan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi sempena Majlis Perasmian Karnival Risda Madani Zon Selatan 2024 di Dataran Uptown,  Kluang hari ini. – Foto oleh RAJA JAAFAR ALI / KOSMO!

“Ini juga mencerminkan komitmen kerajaan dalam membangunkan komuniti pekebun kecil dan memastikan masa depan lebih terjamin untuk 500,000 pekebun kecil bernaung di bawah Risda,” katanya.

Tambahnya, inisiatif itu juga akan menjadi penggalak kepada pekebun kecil bagi menghasilkan lateks yang dilihat lebih tinggi harga pasaran berbanding penghasilan skrap.

“Pekebun kecil kini lebih terarah kepada penghasilan skrap berbanding lateks. Menerusi keluasan tanah purata 1.9 hektar, pekebun kecil menghasikan sekitar 230 kilogram skrap sebulan.

“Ini memberi pendapatan purata sekitar RM1,400. Namun melalui penghasilan lateks pekat dan RSS.

“Pekebun kecil boleh menjana pendapatan bulanan dengan nilai anggaran RM1,900 sebulan iaitu peningkatan 30 hingga 40 peratus,” katanya.

Tambahnya, RISDA ketika ini mempunyai 233 depo pengumpulan hasil getah seluruh negara merangkumi 206 depo skrap dan 27 depo lateks. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI