KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim menyeru untuk menggalakkan lebih banyak penganjuran konsert bertemakan patriotik di negara ini.
Adam berkata, menerusi penganjuran konsert sebegitu mampu menerapkan nilai patriotik khususnya terhadap generasi muda.
“Saya ada meneliti beberapa hantaran dalam media sosial yang menyebut bahawa rakyat Malaysia tak begitu patriotik, itu salah.
Menerusi konsert seperti Jiwa Malaysia 2024 ini, saya anggap satu platform ekspresi patriotik kerana tidak semestinya nilai kenegaraan itu sebagaimana yang biasa kita tengok atau baca ikrar dan sebagainya.
“Mencintai industri muzik tempatan juga satu bentuk patriotisme,” katanya pada Konsert Jiwa Malaysia 2024 yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Adam turut yakin penganjuran konsert mampu memberi impak positif kepada golongan belia.
Saya yakin yang ada disini disatukan dengan satu jiwa iaitu jiwa Malaysia. Itulah keunikan dan identiti kita sebagai rakyat Malaysia,” ujarnya.
Terdahulu, konsert yang berlangsung bermula pada pukul 6 petang itu dihadiri seramai 15,000 penonton.
Konsert Jiwa Malaysia 2024 dimeriahkan dengan persembahan daripada Bella Astillah, Spider, Ruffedge, Hujan, Bunkface, Dolla dan Insomniacks.
Konsert itu merupakan anjuran bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), kerjasama MND Sport & Event dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM). – KOSMO! ONLINE