fbpx

KPDN bongkar premis simpan 220kg minyak masak peket, 377kg gula pasir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penguat kuasa KPDN memeriksa minyak masak peket dan gula pasir yang disorok di sebuah premis di Taman Kota Jaya, Simpang di Taiping semalam. - Foto IHSAN KPDN

TAIPING – Sebuah premis menjual barangan runcit di Taman Kota Jaya, Simpang di sini semalam dikesan menyorok 220 kilogram (kg) minyak masak peket 1kg dan 377kg gula pasir kasar.

Bahkan, menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail, premis itu turut menjual gula pasir berkenaan melebihi harga kawalan.

Beliau memberitahu, sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Cawangan Taiping telah menjalankan pemeriksaan menerusi Ops Samar di premis itu susulan aduan orang awam berhubung perkara tersebut kira-kira pukul 11.15 pagi.

“Ketika uji beli dilakukan di premis berkenaan, jurujual memaklumkan bahawa minyak masak paket 1kg bersubsidi telah habis dijual dan tiada stok lagi.

“Curiga dengan kenyataan tersebut, sepasukan anggota penguat kuasa beruniform telah masuk ke dalam premis dan melakukan pemeriksaan menyeluruh,” katanya di sini hari ini.

Kamalludin berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat 220kg minyak masak paket 1kg bersubsidi disimpan di stor premis terbabit.

Katanya, tindakan premis cuba menyorok dan enggan menjual barang kawalan ini adalah merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Pemeriksaan lanjut turut mendapati gula pasir putih bertapis kasar 1kg telah dijual dengan harga RM2.90 iaitu melebihi harga kawalan yang ditetapkan iaitu RM2.85.

“Sehubungan itu, satu lagi tindakan kes di bawah Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 telah diambil ke atas premis yang sama kerana menjual barang kawalan melebihi harga kawalan ditetapkan kerajaan,” katanya.

Sehubungan itu, menurut beliau, KPDN Cawangan Taiping telah mengambil tindakan dengan menyita kesemua 220kg minyak masak peket 1kg bersubsidi dan 337kg gula pasir putih kasar beserta beberapa dokumen berkaitan.

Katanya, nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM1,510.45.

“Kes yang disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabitkan kesalahan bagi pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM5 juta.

“Manakala jika pesalah bukan pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM3 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Kamalludin berkata, jika disabitkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011, bagi pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM100,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM250,000.

“Manakala jika pesalah bukan pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM 100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI