fbpx

Kebakaran asrama ragut 17 nyawa, 70 hilang 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ibu bapa atau ahli keluarga berkumpul di luar sekolah dan menunggu berita mengenai mangsa yang hilang. - AFP 

NAIROBI – Sekurang-kurangnya 17 pelajar terbunuh dan 70 lagi hilang dalam kebakaran yang memusnahkan asrama sebuah  sekolah di tengah Kenya, lapor stesen penyiaran NDTV semalam. 

Kejadian berlaku sekitar tengah malam di Akademi Endarasha Hillside dalam daerah Nyeri. Api dilaporkan menyambar asrama yang menempatkan lebih 150 kanak-kanak lelaki yang sedang tidur. 

“Kami masih mencari 70 pelajar yang masih belum diketahui, ini tidak bermakna mereka terkorban atau cedera. Kata yang tepat adalah mereka tidak dapat dikesan,” kata Timbalan Presiden Kenya, Rigathi Gachagua sambil menambah, 27 mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital. 

Polis tempatan berkata, seramai 17 pelajar disahkan meninggal dunia. 

“Mayat yang ditemui di tempat kejadian rentung sehingga sukar untuk dikenali,” kata jurucakap polis kebangsaan, Resila Onyango.

Bagaimanapun, Rigathi berkata, jumlah sebenar mangsa yang terbunuh masih belum dapat dipastikan.

Beliau menggesa saudara mara, ahli keluarga dan masyarakat untuk mengesan mangsa yang hilang. 

Rigathi menyifatkan insiden itu sebagai ‘mengerikan’ dan berkata, proses penyiasatan yang teliti menggunakan DNA diperlukan untuk membantu mengenal pasti mangsa. 

“Asrama tersebut menempatkan kanak-kanak lelaki darjah empat hingga lapan, bermaksud mangsa berusia antara sembilan hingga 13 tahun,” kata kerajaan. 

Ketegangan semakin meningkat apabila ahli keluarga berkumpul di sekolah dan menantikan berita mengenai mangsa. 

Orang ramai juga menangis selepas pegawai membawa mereka melihat mayat rentung di asrama yang musnah.

Punca kebakaran masih belum diketahui tetapi Suruhanjaya Jantina dan Kesaksamaan Kebangsaan Kenya berkata, laporan awal menunjukkan asrama itu ‘sesak dengan pelajar sekali gus melanggar piawaian keselamatan’ dan menggesa siasatan segera. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI