fbpx

Isu KK Kampung Pandan diberi perhatian dalam Belanjawan 2025 – Johari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani ketika ditemui pemberita pada majlis Hari Ekzema Sedunia 2024 di Auditorium Hospital Kuala Lumpur hari ini. -Foto oleh SYAKIR RADIN / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mahu isu kepadatan pesakit di Klinik Kesihatan (KK) Kampung Pandan diberi perhatian dalam peruntukan Belajawan 2025 yang akan dibentangkan bulan depan.

Kata Johari, beliau sudah membawa isu tersebut kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dibentangkan kepada Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Ekonomi bagi mengambil langkah selanjutnya.

“Sebagai Ahli Parlimen Titiwangsa, saya beri tumpuan kepada KK Kampung Pandan sebab terlampau padat berbanding dahulu boleh menampung 300 hingga 600 pesakit sehari tetapi sekarang menerima lebih 1,000 pesakit.

“Kawasan ini semakin berkembang dan ramai pesakit menerima rawatan di situ bukan hanya penduduk Kampung Pandan tetapi juga orang luar seperti Pandan dan Ampang sehingga terpaksa pakai kontena kerana terlalu sesak.

“Sehubungan itu, saya sudah membawa perkara ini kepada KKM dan sudah bercakap dengan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang menjaga soal infrastruktur ini untuk dia tengok bagaimana kita boleh menyelesaikan isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Hari Ekzema Sedunia 2024 di HospitaL Kuala Lumpur (HKL) di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Sub Kepakaran Dermatologi KKM, Dr. Azura Mohd. Affandi serta Timbalan Pengarah (Perubatan) HKL, Dr. Shahrum Ismail.

Johari berkata, setakat ini Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan sudah mengenal pasti tanah kosong di Cochrane yang berkemungkinan berpotensi untuk menggantikan kemudahan sedia ada.

“Saya juga sudah berbincang dengan pihak Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan dan mereka sudah mengenal pasti ada tanah di Cochrane.

“Jadi, saya kata seharusnya ambil peluang itu untuk buat klinik lebih selesa bagi mengantikan tempat dan kemudahan yang sedia ada sekarang,” ujarnya.

Sementara itu, pada perkembangan lain, Dr. Shahrum berkata, ekzema salah satu penyakit kulit kronik paling banyak dirawat di klinik dermatologi dengan purata lebih 100 kes rujukan baharu setiap bulan.

“Pada tahun 2023 saja, lebih 5,000 pesakit ekzema mendapat rawatan susulan di HKL.

“Oleh itu, insiatif hari ini dilakukan bagi memberi pendedahan dan berinteraksi dengan orang awam terutama ibu bapa kepada pesakit bagi berkongsi maklumat mengenai penyakit ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI