fbpx

Global Ikhwan disiasat polis, 4 laporan diterima di Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ayob Khan pada sidang akhbar di Universiti Kebangsaan Malaysia, hari ini.

BANGI – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap Global Ikhwan Sdn. Bhd. (GISB) yang disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ia susulan empat laporan yang diterima pihaknya di sekitar Selangor.

“Ini adalah laporan yang terbaharu. Mungkin ada lagi di negeri lain yang kita sedang kumpulkan dan kita akan maklumkan kemudian.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 32 (a) Akta Kanak-Kanak 200 kerana mengeksploitasi kanak-kanak untuk mengutip dana, derma dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi Universiti Awam ke-20 2024 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, modus operandi organisasi itu dikesan mengeksploitasi ahli dan kanak-kanak melalui penubuhan rumah amal dan kebajikan bagi tujuan kutipan derma.

Katanya, ahli organisasi itu juga dipercayai tidak dicarum melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain dikenakan tindakan kuarantin sekiranya melakukan kesalahan.

Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, organisasi itu yang dipercayai serpihan daripada kumpulan ajaran sesat turut berada dalam senarai pemantauan Cawangan Khas PDRM.

“Daripada senarai yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), sebanyak 154 ajaran sesat dipantau.

“Di pihak PDRM pula, kita ada 114 yang mana daripada jumlah ini, kira-kira 14 kumpulan aktif manakala 8 lagi di dalam pemantauan termasuklah GISB,” jelasnya.

Kata Ayob Khan, sebnyak 80 laporan polis dibuat berhubung aktiviti ajaran sesat dengan 122 orang ditangkap bagi tempoh 2022 hingga Ogos 2024.

“Ini satu proses yang berterusan dan kita akan terus memantau dan bekerjsama dengan JAIN dan Jakim untuk membanteras aktiviti ini yang dikhuatiri boleh menjurus kepada isu ekstremis,” jelasnya.

Sebelum ini, media melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar mengesahkan akan ada libat urus dengan wakil syarikat GISB.

Ia ekoran pelbagai dakwaan terpalit berhubung organisasi tersebut yang didakwa mempunyai kaitan dengan ajaran sesat al-Arqam dan Rufaqa, antaranya mengekploitasi agama dan kanak-kanak untuk meminta dan menjalankan perniagaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI