PETALING JAYA – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan berlaku gangguan perkhidmatan KTM Komuter di Lembah Klang berikutan gangguan alat talian atas (bekalan elektrik).
Menurut KTMB, gangguan itu berlaku di antara Stesen Bangi dan Stesen Batang Benar perkhidmatan tren Komuter laluan Batu Caves – Pulau Sebang akan ditamatkan di Stesen UKM.
“Bagi perkhidmatan tren Komuter laluan Pulau Sebang – Batu Caves akan ditamatkan di Stesen Batang Benar.
“Buat masa ini tiada perkhidmatan tren komuter antara Stesen Bangi dan Stesen Batang Benar,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Tambahnya, aturan bas perantaraan disediakan di Stesen Kajang untuk penumpang yang ingin membuat perjalanan ke Stesen Bangi dan Stesen Batang Benar.
“Disediakan empat bas perantaraan iaitu melibatkan nombor pendaftaran bas DDB 9228, BLA 7776, SK 776 E dan BKR 7776.
“Penumpang ETS 9322 dari Gemas akan menaiki bas di Stesen Seremban ke Stesen KL Sentral, manakala penumpang ETS 9322 dari Stesen Kajang dan Stesen Bandar Tasek Selatan akan diaturkan menaiki tren Komuter ke Stesen KL Sentral.
“Jadual pergerakan bas akan diselaraskan dengan jadual tren komuter untuk memastikan kesinambungan perjalanan penumpang bergantung kepada aliran trafik,” jelasnya.
KTMB memberitahu, bagi perkhidmatan tren ETS 9322 Gemas – Butterworth, aturan bas perantaraan telah disediakan di Stesen Seremban ke Stesen KL Sentral.
“Bagi penumpang ETS 9322 dari Stesen Kajang dan Stesen Bandar Tasek Selatan pula akan diaturkan menaiki tren Komuter ke Stesen KL Sentral.
“KTMB mohon maaf atas kesulitan ini. Terima kasih atas perhatian anda,” tulisnya,” – KOSMO! ONLINE