BESUT – Dua pengasuh sebuah taska di Kampung Raja di sini yang ditahan polis bagi membantu siasatan mendera dua bayi asuhan mereka ditahan reman selama enam hari sehingga Khamis ini.
Perintah reman terhadap wanita berusia 26 dan 50 tahun itu dibenarkan Hakim Ahmad Fadhli Mahmud di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.
“Kedua-dua suspek yang bekerja di taska terlibat telah ditahan pada pukul 3 petang semalam.
“Penahanan mereka berikutan laporan polis dibuat salah seorang ibu mangsa pada pukul 7 malam kelmarin,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Kosmo! Online hari ini melaporkan dua bayi masing-masing perempuan berusia setahun dan lelaki berumur tiga tahun didakwa didera pengasuh sewaktu mereka berada di bawah jagaan taska terlibat.
Perlakuan suspek terbongkar berikutan penularan satu satu klip video berdurasi 25 saat memaparkan salah seorang bayi terlibat yang sedang menangis ditarik secara kasar dari arah belakang sehingga badannya terjatuh ke lantai di media sosial.
Abdul Rozak berkata, siasatan awal mendapati taska berkenaan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). – KOSMO! ONLINE