TEMASYA sukan Olimpik Paris 2024 baru sahaja melabuhkan tirainya dan sekarang temasya sukan Paralimpik pula sedang berlangsung di negara yang sama.
Selain kehandalan para atlet yang bertanding, rupa paras kacak dan jelita mereka juga menjadi idaman ramai.
Namun tahukah anda ada di antara atlet yang pernah menyertai Olimpik kini menjadi selebriti terkenal.
HibGlam minggu ini merangkumkan kisah bintang ternama dunia yang pernah bergelar atlet dan bertanding di peringkat global.
Jason Statham
Siapa sangka pelakon filem aksi ganas berwajah serius ini merupakan bekas atlet sukan terjun. Jason Statham pernah mewakili England dalam acara terjun pada temasya Sukan Komanwel 1990.
Sebelum bergelar pelakon, Jason sempat menjadi model untuk beberapa jenama seperti Tommy Hilfiger, Levi’s dan French Connection. Antara filem Jason yang mendapat perhatian ramai adalah trilogi Transporter, The Italian Job dan francais Fast & Furious.
Gina Carano
Sebelum menempa populariti sebagai pelakon dalam filem Fast & Furios 6, Gina Carano merupakan seorang atlet Muay Thai yang telah meraih pelbagai kemenangan. Pada tahun 2008 dia telah dinobatkan sebagai Female Fighter Of The Year di World MMA Awards.
Memiliki raut wajah yang jelita serta kemahiran dalam seni mempertahankan diri , Gina dipilih sebagai watak utama dalam filem Haywire yang menyaksikan dia melakonkan watak sebagai pengintip.
Bekas kekasih Henry Cavill ini juga pernah muncul dalam filem Deadpool.
Bruce Jenner
Bapa kepada Kendal Jenner dan Kylie Jenner ini merupakan atlet sukan olahraga decathlon yang pernah memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik Montreal pada tahun 1976.
Selepas bersara sebagai atlet, Bruce meneruskan kariernya dalam bidang lakonan apabila mendapat banyak tawaran dek popularitinya sebagai atlet. Filem pertama lakonannya adalah Can’t Stop The Music pada tahun 1980.
Pada tahun 2007 Bruce sekali lagi menempa populariti apabila dia terlibat dengan program realiti Keeping Up With The Kardashians.
Deepika Padukone
Mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Sebagai anak kepada atlet badminton terkenal India, Prakash Padukone, Deepika turut mengikut jejak langkah bapanya bermain badminton sewaktu zaman remajanya.
Deepika bermain badminton untuk peringkat kebangsaan, namun meninggalkan sukan itu untuk menjadi seorang peragawati.
Kejelitaan wajahnya telah menambat hati ramai penerbit dan pengarah Bollywood untuk menjadikannya sebagai heroin mereka. Filem
Bollywood pertama lakonannya bersama Shah Rukh Khan, Om Shanti Om berjaya menjadikannya antara heroin paling popular sehingga kini.
Dwayne Johnson
Siapa yang tidak mengenali pelakon popular ini. Biarpun menggunakan nama pentas sebagai Dwayne Johnson, namun peminat masih menggelarnya sebagai The Rock iaitu nama yang digunakannya sebagai atlet gusti WWE sebelum dia bergelar pelakon.
Sebelum Dwayne terlibat dengan sukan gusti, dia terlebih dahulu menjadi pemain ‘American Fooball’ mewakili universitinya. Selepas tamat belajar, dia dipilih menyertai pasukan Calgary Stampeders daripada Liga Canada.