KUALA LUMPUR – Semakin jarang memenuhi tawaran drama, pelakon Rozita Che Wan menegaskan situasi tersebut bukan petanda mahu bersara awal, sebaliknya hanya memilih genre ringan.
Akui Rozita atau Che Ta, 51, sehingga kini dia tiada perancangan untuk pencen berlakon biarpun lebih ligat menguruskan perniagaan yang memerlukan tumpuan penuh.
“Kurang berlakon bukan sebab saya nak berundur, cuma mungkin kebelakangan ini saya semakin sibuk mengendalikan bisnes dan menguruskan keluarga.
“Sebelum ini pun saya agak selektif pilih genre sesuatu naskhah yang menyebabkan kelibat saya boleh dikira dengan jari muncul di kaca televisyen,” katanya kepada Kosmo! Online.
Pelakon Kiah Pekasam itu berkata, bersikap selektif bukan bermaksud cerewet sebaliknya memilih genre ringan demi mengelak tekanan yang boleh menjejaskan kesihatan.
“Saya bukan cerewet tapi selesa beraksi dalam naskhah ringan atau komedi. Cerita berat atau main emosi saya elakkan, takut cepat mati,” ujarnya.
Menurut ibu kepada tiga cahaya mata itu, soal bersara juga pernah disuarakan anak sulungnya, Ammar Effendy yang memintanya berehat selepas bertahun-tahun berada di set penggambaran.
Begitupun, akuinya permintaan puteranya itu tidak dapat ditunaikan buat masa sekarang disebabkan bidang lakonan masih menjadi keutamaannya selain bisnes yang diusahakan.
“Memang anak saya pun minta saya pencen awal, mungkin sebab tengok saya sibuk uruskan perniagaan dan dalam masa sama sesekali ada juga masuk set penggambaran.
“Tunggulah beberapa tahun lagi. Selagi terdaya saya tetap nak berlakon, rasai suasana meriah di lokasi penggambaran dan bekerja dengan mereka yang sama-sama cintakan industri seni.
“Walaupun cuma ambil tawaran tertentu, tidak mengapalah jarang muncul. Janji masih berlakon. Sebenarnya ada produksi yang tawarkan saya drama rantaian 60 episod, memang saya terpaksa tolak,” katanya.
Drama terbaru yang dibintanginya adalah Rombongan Makciks ke Dataran Merdeka yang disiarkan di Astro, baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE