HANOI – Ramai anak muda sanggup bangun awal pagi dan menghirup secawan kopi sambil melihat pemandangan matahari terbit, lapor portal berita tuoi tre news.
Trend itu berlaku di kedai kopi Trinh Cafe, bandar raya Da Nang di tengah Vietnam.
Kafe itu dibuka seawal pukul 4 pagi (waktu tempatan) tetapi ramai pelanggan yang terdiri daripada golongan muda, tiba lebih awal untuk mendapatkan tempat duduk terbaik menjelang waktu subuh.
Sesetengah pelanggan berusaha keras untuk pengalaman tersebut. Mereka sanggup bangun seawal pukul 2 atau 3 pagi dan melakukan perjalanan lebih 10 kilometer untuk minum kopi sambil melihat fajar menyingsing walaupun masih mengantuk.
Seorang remaja tempatan berusia 18 tahun, Phan Thanh Vuong menceritakan pengalamannya tiba pada pukul 4 pagi (waktu tempatan) bersama rakan-rakan di kafe tersebut.
“Ia satu pengalaman yang unik dan menyeronokkan untuk duduk di sini, menghirup kopi dan melihat matahari terbit, walaupun saya berasa agak mengantuk,” katanya.
Melihat matahari terbit sudah menjadi trend sehingga ada golongan muda lewat masuk kerja atau pergi ke sekolah. – AGENSI