fbpx

1,869 polis dikenakan hukuman tatatertib, 175 dibuang kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ayob Khan ketika melakukan pemeriksaan perbarisan pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Inspektor Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi, Universiti Awam ke-20 2024 di Dataran Gemilang, Universiti Kebangsaan Malaysia, hari ini.- Foto MUHAMAD IQBAL ROSLI/ KOSMO!

BANGI – Seramai 1,869 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikenakan hukuman tatatertib atas pelbagai kesalahan sejak 2023 hingga Ogos tahun ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, daripada jumlah itu, seramai 175 pegawai dan anggota dikenakan hukuman buang kerja.

Menurutnya, mereka yang dikenakan tindakan didapati terlibat dalam kes pemerasan, dadah dan sindiket.

“Berdasarkan statistik, tindakan PDRM adalah konsisten dan berterusan. Kita tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pegawai atau anggota yang terlibat dalam kegiatan haram,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi Universiti Awam ke-20 2024 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, beberapa langkah turut diambil bagi memantau kegiatan pegawai dan anggota menerusi Sistem Kawalan Disiplin dan Dadah (SKDD) dan ujian integriti.

“Kita juga laksanakan pemerkasaan pematuhan dengan membuat audit kewangan selain Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman juga akan turun ke bawah untuk buat pemeriksaan,” jelasnya.

Dalam pada itu, kata Ayob Khan, PDRM juga mengambil tindakan di bawah Peraturan 3C Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
“Contohnya anggota bawah seperti koperal terlibat salah laku dan sebagainya berpunca akibat kurang penyeliaan. Jadi kita akan ambil tindakan ke penyelia misalnya.

“Setakat ini, kita sudah mengambil 50 tindakan mengikut peraturan tersebut. Selain itu kita juga membuat ‘profiling’ sekiranya ada pegawai dan anggota hidup mewah,” jelasnya.

Pada masa sama, Ayob Khan memberitahu bahawa beliau pernah mengambil tindakan buang kerja ke atas lima pegawai berhubung salah laku sewaktu menjawat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI