fbpx

Warga emas 70 tahun dibenar kayuh beca di Banda Hilir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGAYUH beca warga emas dibenarkan memperbaharui lesen mengikut syarat-syarat ditetapkan di bawah UKK Beca MBMB 2024. Foto oleh AMRAN MULUP/ KOSMO!

MELAKA – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menetapkan hanya pengayuh beca berdaftar berusia antara 18 hingga 70 tahun boleh memperbaharui lesen di bawah garis panduan baharu yang diperkenalkan mulai tahun depan.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, bagi pengayuh beca berusia 70 tahun mereka perlu mengemukakan laporan kesihatan daripada hospital, klinik kerajaan dan swasta sewaktu memohon atau memperbaharui lesen yang tamat Disember ini.

Menurutnya, peraturan baharu yang diperkenalkan itu adalah di bawah Undang-Undang Kecil (UKK) Beca MBMB 2024 yang telah diwartakan pada Jun lalu bertujuan meningkatkan mutu perkhidmatan produk pelancongan utama itu.

“Kira-kira 255 beca yang berdaftar perlu menjalani proses temuduga termasuk menjalani saringan kesihatan, wajib mencarum dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) apabila memperbaharui lesen mulai bulan ini hingga Disember.

“Kita memperkenalkan garis panduan baharu ini kerana MBMB banyak menerima kritikan daripada pelancong mengenai pelbagai masalah yang timbul di sekitar Banda Hilir,” katanya pada sidang akhbar di Auditorium MBMB di sini, hari ini.

Jelasnya, bagi kadar bayaran beca yang ditetapkan pula tidak boleh melebihi RM50 bagi satu jam perjalanan, namun sekiranya tempoh menjadi lebih panjang caj tambahan boleh dikenakan oleh pengayuh beca.

“Pengayuh beca boleh beroperasi di mana-mana tujuh pusat hentian yang dibenarkan iaitu bagi zon bebas kenderaan di Menara Taming Sari, Melaka Historical Vechile Park, Medan Samudera, Dataran Sungai Melaka, Bangunan Stadhuys, Bangunan Madonna dan Hard Rock Cafe.

“Pengayuh beca juga turut diwajibkan memakai pakaian seragam yang akan diberikan MBMB secara percuma,” ujarnya.

“Menerusi garis panduan baharu ini pengayuh beca perlu menghadkan bunyi muzik tidak melebihi 65 desibel serta memasang lagu tradisional dan had kelajuan maksium pula ditetapkan ialah 5 kilometer (km) sejam,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI