PETALING JAYA – Akaun TikTok milik seorang pemandu bas yang popular dengan panggilan ‘Abang bas’ didapati sudah tiada dalam senarai carian selepas dia ditahan pihak polis awal pagi tadi.
Difahamkan akaun yang mempunyai hampir 650,000 pengikut itu telah disekat oleh pengendali paltform tersebut.
Kontroversi melibatkan pemandu tersebut tular di media sosial apabila dia sering memuat naik video merakam tindakan murid sekolah rendah membuat ‘homework’ ketika berada di dalam bas.
Perbuatannya itu mendapat kecaman teruk termasuklah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri yang menggesa pihak berkuasa menjalankan sisatan segera serta tindakan sewajarnya dalam membendung salah laku tersebut.
Terdahulu, Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Kluang telah menahan pemandu bas berusia 24 tahun itu kira-kira pukul 2.57 pagi tadi di Simpang Renggam, Johor Bahru.
Katanya, polis turut merampas telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk memuatnaik hantaran berkenaan di akaun media sosialnya.
Suspek juga direman selama lima hari hingga 10 September.
Permohonan reman dibenarkan oleh Majistret Suhaila Safi’uddin di Mahkamah Majistret Batu Pahat – KOSMO! ONLINE