fbpx

The Secret, apabila penonton menjadi penyiasat!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
The Secret mengisahkan tentang misteri kematian seorang pelajar kolej iaitu Liya lakonan Ellyza Azizi sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi negatif.

KALAU mempunyai impian menjadi penyiasat, barangkali drama Viu Original iaitu The Secret adalah jawapan terbaik ketika ini.

Sudah disiarkan sejak 22 Ogos lalu, drama yang baru memasuki episod keempat itu membuatkan penonton tidak senang duduk dengan pelbagai persoalan terhadap sebuah kes kematian wanita bernama Liya yang masih tiada jawapan.

Menurut pengarahnya, Jason Chong, naskhah tersebut akan membuatkan penonton tidak berhenti berfikir kerana setiap karakter mempunyai motif sendiri yang menjadi punca kematian Liya.

“Naskhah ini bergenre misteri jenayah, kami mulakan dengan satu insiden sebelum membawa penonton kupas satu demi satu permasalahan dan punca kejadian tersebut.

“Pada awal siri ini, apa yang kami cuba capai adalah mempamerkan semua karakter berkemungkinan menjadi suspek dan memiliki motif tersendiri.

The Secret dibarisi pelakon hebat tanah air termasuklah Datuk Remy Ishak, Siti Saleha, Ucop, Nadiya Nisaa, Fatimah Abu Bakar, Amir Nafis, dan Lorenzo Irmann.

“Saya tidak boleh dedahkan terlalu banyak, sebab nanti akan jadi ‘spoiler’. Cuma apa yang saya boleh katakan, jalan ceritanya sangat ‘twisty’ dan memerlukan penonton membuat andaian sendiri,” katanya.

Berkongsi lanjut, Jason memberitahu jalan cerita The Secret dilihat sangat relevan dengan isu semasa yang melanda negara ketika ini seperti kes bunuh diri, pembunuhan, buli siber, gangguan seksual dan banyak lagi.

Tuturnya, lakonan hebat barisan pelakon turut memberi impak terhadap jalan cerita tersebut.

“Drama ini sangat ‘kena’ dengan isu-isu semasa seperti bagaimana bunuh diri boleh berlaku di sekolah dan universiti.

“Bukan itu sahaja, kami juga mengetengahkan isu kesihatan mental dan konflik keluarga yang sering dilalui golongan muda hari ini.

“Emosi yang mereka yang menonton drama ini pasti akan merasai emosi seperti roller-coaster,” jelasnya.

Sementara itu, pelakon yang menjayakan watak Liya iaitu Ellyza Azizi berkata, drama ini memberi impak terhadap karier seninya.

Bagi memastikan karakter Liya menjadi, Ellyza banyak menonton naskhah dokumentari kes jenayah sebagai rujukan.

“Graf watak Liya ada turun naik dan memerlukan saya banyak bermain dengan emosi sendiri. Agak berat tetapi terima kasih kepada pengarah kerana beri kepercayaan itu kepada saya.

“Saya menonton banyak dokumentari berdasarkan kisah benar tentang wanita yang  menjadi mangsa sebagai rujukan untuk menjayakan watak Liya,” kongsinya.

Tambah Ellyza, karakter Liya turut mengajarnya menjadi wanita yang lebih berani bersuara sekiranya ditindas.

“Liya mengajar saya untuk jadi perempuan yang berani bangkit mempertahankan haknya. Sangat bangga dengan watak sendiri.

“Harap naskhah ini dapat memberi mesej yang positif terhadap penonton dan bukan sekadar bahan hiburan semata-mata,” katanya lagi.

The Secret mengisahkan tentang misteri kematian seorang pelajar kolej iaitu Liya lakonan Ellyza Azizi sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi negatif.

Naskhah tersebut turut membariskan pelakon hebat lain seperti Datuk Remy Ishak, Siti Saleha, Ucop, Nadiya Nisaa, Fatimah Abu Bakar, Amir Nafis, dan Lorenzo Irmann.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI